Ahad, 15 Disember 2019 | 3:25pm
RINA bersama sebahagian penerima bantuan yang juga penerima surat tawaran kemasukan ke MRSM sempena Program Back To School 2020 @ KPLB Yayasan Pelajaran MARA di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM). - Foto Farizul Hafiz Awang

Keputusan kemasukan ke MRSM boleh disemak hari ini

KUANTAN: Pemohon boleh menyemak status kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mulai hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata pengumuman keputusan itu dibuat lebih awal bagi memberi peluang kepada ibu bapa yang anak mereka ditawarkan ke MRSM membuat persiapan.

“Ini adalah antara pembaharuan yang kita buat bagi memudahkan keluarga pemohon melakukan persiapan jika anak mereka ditawarkan ke MRSM.

“Selain itu, bagi pemohon yang gagal pula, mereka boleh mengemukakan permohonan bermula hari ini dan kita jangka proses rayuan ini akan dapat diselesaikan menjelang hari pendaftaran (kemasukan) ke MRSM pada Januari depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Back To School anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Yayasan Pelajaran MARA di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), dekat sini, hari ini.

RINA bersama sebahagian penerima bantuan yang juga penerima surat tawaran kemasukan MRSM sempena Program Back To School 2020 @ KPLB Yayasan Pelajaran MARA di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM). - Foto Farizul Hafiz Awang

Pada majlis sama, Rina turut menyampaikan surat tawaran kemasukan ke MRSM kepada 29 pelajar dari Pahang.

Kementerian menerima 80,319 permohonan ke MRSM tahun ini walaupun jumlah tempat disediakan hanya 7,628 sahaja.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai peratusan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) ditawarkan ke MRSM tahun depan, beliau memaklumkan MARA mengekalkan kuota 60 peratus tempat untuk ke MRSM kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Kerajaan mengekalkan kuota 60 peratus untuk keluarga B40 serta menyediakan pelbagai bantuan untuk pelajar terbabit.

Antara bantuan berkenaan termasuk Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) kepada golongan miskin tegar yang mana pelajar akan memperoleh manfaat seperti wang saku RM50 sebulan, pengecualian bayaran caruman RM60 sebulan serta bantuan ‘one-off’ RM1,500 setahun.

Seramai 3,000 pelajar akan menerima skim BUDI tahun depan yang mana 203 daripadanya adalah pelajar dari Pahang.

Berita Harian X