X
Ahad, 15 Disember 2019 | 7:43pm
GAMBAR dimuat naik Syed Saddiq di laman Twitter rasminya.
GAMBAR dimuat naik Syed Saddiq di laman Twitter rasminya.

'Mengapa perlu jadi isu?' - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, menyatakan kekesalan terhadap segelintir pihak kerana cuba mencetuskan isu berhubung pembedahan kecil akibat apendiks yang dijalaninya, Rabu lalu.

Nada hampa itu timbul apabila gambar dimuat naik Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkenaan yang memaparkan beliau terlantar di atas katil wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) didakwa dijadikan bahan meraih simpati.

Sambil ditemani isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali, potret yang disunting pengguna media sosial itu turut menimbulkan pertikaian berhubung kaitan antara wayar interkom dan pembalut untuk memeriksa tekanan darah pesakit.

Bingung dengan corak pemikiran sedemikian, Syed Saddiq menerusi aplikasi kumpulan WhatsApp untuk hebahan media berkata: “Saya langsung tidak faham kenapa perkara ini dijadikan isu,” sambil merujuk penjelasan dikemukakan Dr Nur Amalina Che Bakri.

Dr Nur Amalina, pelatih pakar bedah warga Malaysia yang kini berada di United Kingdom, menafikan gambar terbabit adalah bahan lakonan seperti didakwa segelintir pihak.

PENJELASAN Dr Nur Amalina Che Bakri di laman Twitternya.
PENJELASAN Dr Nur Amalina Che Bakri di laman Twitternya.

Bersandarkan amalan pengamal perubatan dan pengalaman sebagai doktor bedah, pembalut untuk memeriksa tekanan darah setiap empat jam yang diletakkan di lengan kiri Syed Saddiq ialah pendekatan lazim bagi menentukan pesakit berada dalam keadaan stabil.

Menerusi laman Twitter, Dr Nur Amalina turut menjelaskan luka daripada pembedahan membuang apendiks perlu ditutup demi menangani sebarang risiko berlaku jangkitan yang berupaya merencatkan proses penyembuhan fizikal pesakit.

“Laparoscopic appendicectomy (pembedahan kecil bagi membuang apendiks) ialah antara pembedahan biasa. Ia (masalah apendiks) lazimnya bermula dengan kesakitan pada tengah abdomen sebelum berpindah ke bahagian bawah kanan.

“Pembedahan perlu dilakukan bagi mengelak sebarang jangkitan yang boleh membawa maut,” katanya sambil mendoakan Syed Saddiq supaya segera sembuh.

Berita Harian X