Selasa, 17 Disember 2019 | 4:07pm

IWK bakal sediakan bekalan air terawat untuk pengguna industri

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bakal memperluas operasinya dengan menyediakan bekalan air terawat bagi pengguna industri, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Narendran, berkata ia susulan penghasilan air terawat di IWK sudah mencapai kapasiti sebanyak 5,500 liter sehari di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum perkara itu dibawa untuk pertimbangan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar.

“Diakui ia (pembekalan air terawat) memerlukan kos besar tetapi tarif bagi pengguna industri adalah pada kadar agak tinggi dan kita boleh menjualnya di bawah nilai pasaran semasa.

“Bekalan air terawat ini akan dijual secara pukal kepada operator air dan mereka (operator air) yang akan menjualnya semula kepada pengguna industri,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi IWK, Amiruddin Abdul Aziz, melancarkan buku khas berjudul ‘Memacu Negara’ sempena ulang tahun ke-25 syarikat pembetungan nasional itu.

Dalam pada itu, Narendran menjelaskan, tarif pembetungan baharu IWK dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2020 selepas permohonan mengenainya diluluskan kementerian.

“Kita melihat sama ada menyelaraskan tarif domestik atau kenaikan minimum sebanyak RM2. Bagaimanapun, golongan B40 dan rakyat dalam senarai e-Kasih akan menerima subsidi bagi kenaikan ini.

“Kenaikan tarif ini bertujuan mengurangkan subsidi dan kebergantungan pada kerajaan, selain sangat minimum. Kos operasi sebenar ketika ini ialah RM18 tetapi caj dikenakan hanyalah 8 sen per meter padu,” katanya.

Mengenai pengebilan bersepadu air dan pembetungan IWK pula, beliau berkata, ia dijangka bermula tahun depan dengan proses menandatangani dokumen berkaitan dengan salah satu operator air, Jumaat ini.

“Pengebilan bersepadu itu bertujuan meningkatkan kecekapan kadar kutipan tahunan yang ketika ini hanya antara 57 hingga 58 peratus. Kita mahu meningkatkannya kepada 90 peratus.

“Selain itu, kita mahu memudahkan pelanggan membuat pembayaran bil apabila kedua-duanya digabungkan selepas ini,” katanya.

Berita Harian X