Sabtu, 21 Disember 2019 | 8:53pm
Penasihat DAP, Lim Kit Siang (kiri) dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang (kiri) dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tiada asas untuk bimbang Kongres Organisasi Cina - Kit Siang

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan tiada asas untuk bimbang dengan penganjuran Kongres Organisasi Cina anjuran Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) akan membawa kekacauan jika ia bukan anti-Melayu atau anti-Perlembagaan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata isu yang timbul adalah kerana ada perbezaan pandangan sama ada pengenalan tiga muka surat pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular akan menjejaskan sekolah Cina dan Tamil.

“Kerana semua pihak setuju untuk mengekalkan sekolah rendah Cina dan Tamil, adalah penting untuk memastikan perbezaan pendapat dalam masyarakat kita diselesaikan dengan aman serta baik dalam keadaan dan konteks perlembagaan dan kerajaan yang sedia ada.

“Usaha juga harus dibuat untuk mengelakkan sebarang polarisasi kaum dan agama di Malaysia, yang mudah tercetus akibat berita palsu dan kebencian yang mengancam kemakmuran masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengingatkan penganjuran satu kongres oleh Dong Zong bagi membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular boleh mencetuskan kekacauan.

Berikutan itu, Dr Mahathir bimbang tindakan Dong Zong itu akan menyebabkan orang Melayu akan bertindak balas dengan cara sangat Melayu, (termasuk) meminta sekolah-sekolah Cina ini ditutup.

Kongres Organisasi Cina dijadual diadakan pada 28 Disember ini bagi membantah garis panduan pengajaran tulisan Jawi terkini oleh Kementerian Pendidikan.

Kongres itu untuk menggesa kerajaan membatalkan pengajaran tiga muka surat tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Garis panduan baharu oleh kementerian membenarkan ibu bapa memutuskan sama ada pengajaran itu boleh diperkenalkan di sekolah. Pengajaran akan diteruskan jika lebih daripada separuh daripada ibu bapa pelajar bersetuju.

Dong Zong tidak bersetuju dengan syarat itu kerana dilihat akan menimbulkan perselisihan dan menyebabkan ketidakharmonian antara ibu bapa etnik yang berbeza yang menghantar anak mereka ke sekolah vernakular.

Dong Zong menegaskan bahawa lembaga pentadbir sekolah sepatutnya diberi kuasa untuk memutuskan sama ada harus melaksanakan pengajaran tiga muka surat tulisan Jawi yang dijadualkan bermula tahun depan untuk murid tahun empat.

Berita Harian X