Ahad, 22 Disember 2019 | 3:17pm
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melambai tangan sebelum berangkat pulang dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas. - Foto BERNAMA

Agong, Raja Permaisuri berangkat pulang selepas lawatan tiga hari di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat pulang ke Kuantan, Pahang, hari ini, selepas melakukan lawatan tiga hari ke Pulau Pinang.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, dekat sini, pada jam 11.45 pagi, disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, bersama isterinya, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, dan isteri, Tan Lean Kee; serta pegawai kanan pentadbiran negeri.

Keberangkatan tiba baginda berdua turut disambut peniaga durian, Mohd Rafie Yaakob, 37, yang menyerahkan cenderahati kepada Raja Permaisuri Agong berikutan Tunku Azizah tidak berkesempatan bertemu dengannya kerana jadual yang padat.

Mohd Rafie adalah peniaga durian yang tular dalam media sosial kerana memanggil Tunku Azizah dengan panggilan ‘kakak’ ketika baginda membeli durian di gerainya di Gurney Drive.

Ini adalah lawatan sulung Al-Sultan Abdullah ke Pulau Pinang sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa gembira dan puas hati sepanjang lawatan tiga hari di Pulau Pinang.

Beliau berkata, baginda turut menyatakan hasrat untuk datang semula ke negeri ini bagi melawat tempat menarik yang baginda tidak berkesempatan lawati berikutan tempoh lawatan yang singkat dan jadual padat.

“Tuanku ‘enjoy’ dengan suasana di sini, khususnya berada di Shangri-La Rasa Sayang Resort, Batu Ferringhi. Sebelum ini, Tuanku juga menerima menghadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, untuk menyatakan beliau tidak dapat bersama sepanjang lawatan Tuanku ke Pulau Pinang kerana mengadakan lawatan rasmi ke Tokyo, Jepun.

“Bagaimanapun, beliau sudah menyenarai pendek beberapa tempat menarik, termasuk tempat makan menarik. Beliau juga ada menyebut berkenaan Penang Digital Library, namun Tuanku tidak sempat pergi kerana jadual padat. Tuanku juga bertitah, baginda bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa Pulau Pinang adalah tempat untuk menikmati makanan,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Fadil berkata, lawatan ke Pulau Pinang boleh dikatakan sebagai lawatan khas Seri Paduka kerana ia dilakukan pada penghujung tahun selepas lawatan baginda ke luar negara.

“Ini adalah lawatan keempat dalam rangka lawatan Tuanku ke negeri di Malaysia selepas Sabah, Sarawak dan Melaka. Walaupun lawatan ke Pulau Pinang berada pada penghujung tahun, lawatan ini sudah mencerminkan pertalian erat antara Tuanku selaku Yang di-Pertuan Agong dengan negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan,” katanya.

Beliau berkata, lawatan ke Bukit Bendera juga amat disukai Al-Sultan Abdullah, malah baginda memuji usaha Perbadanan Bukit Bendera dan pengasas The Habitat, Harry Cockrell, mewujudkan The Habitat yang disifatkan baginda sebagai satu lokasi pelancongan yang menakjubkan.

Katanya, dalam lawatan kali ini, Al-Sultan Abdullah turut berpeluang mendekati barisan kepimpinan Kerajaan Pulau Pinang melalui ramah mesra dengan Ketua Menteri dan EXCO kerajaan negeri dalam setiap atur cara yang diadakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pertemuan baginda dengan Mufti, Ketua Hakim Syarie, Pengarah Jabatan Agama Islam dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam pada lawatan kali ini, menunjukkan usaha Tuanku yang mahu melihat keseragaman dalam hal ehwal Islam di negeri-negeri bawah naungan Seri Paduka, selain memantapkan agensi agama di setiap negeri berkenaan.

“Mesyuarat munaqasyah ini adalah inisiatif baginda untuk menyeragamkan dari segi fatwa, hukum Islam dan isu membabitkan agama. Jadi, pertemuan antara baginda dengan mufti, ketua-ketua agama dan hakim mahkamah syarie ini bukan pertemuan kali pertama.

“Apabila tidak ada munaqasyah ini, negeri-negeri yang tiada Sultan, mereka ‘on their own’. Namun melalui Tuanku, mereka duduk bersama berbincang untuk tujuan keseragaman,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan rasa gembira sempena lawatan kali ini dan menyatakan hasrat datang semula ke Pulau Pinang bagi menikmati durian kegemarannya.

Sementara itu, Kon Yeow ketika ditemui selepas keberangkatan pulang Seri Paduka berdua pula, mengucapkan terima kasih atas kesudian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat melawat negeri ini.

“Kerajaan negeri berharap Tuanku berdua akan mengambil kesempatan pada masa akan datang untuk melawat lagi ke Pulau Pinang. Kerajaan negeri juga mengucapkan penghargaan kepada Tuanku kerana memuji pembangunan di Pulau Pinang. Tuanku juga memberi nasihat supaya rakyat jelata hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu serta Pulau Pinang menjadi negeri contoh.

“Kami akan menerima nasihat ini dan berusaha bersungguh-sungguh memastikan pembangunan Pulau Pinang dapat membawa manfaat kepada semua rakyat dan menjadi sebuah negeri di mana rakyat boleh menikmati hasil pembangunan, di samping wujud perpaduan dan semangat toleransi kerana kepelbagaian adalah kekuatan negeri kita,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X