Isnin, 23 Disember 2019 | 12:42pm

Pelan Berkaitan Pelaburan - Meningkatkan pendedahan dan ketelusan untuk pelanggan

GARIS panduan baharu untuk jualan dan pemasaran pelan insurans dan sijil takaful berkaitan pelaburan (ILP) telah berkuat kuasa pada Julai lalu melalui dua peringkat, dimulai dengan pengenalan pendedahan maklumat kemampanan polisi/sijil. Ini diikuti oleh keperluan ilustrasi premium/sumbangan yang disediakan oleh penanggung insurans dan pengendali takaful untuk mengekalkan perlindungan polisi/sijil untuk keseluruhan tempoh kontrak. Selain itu, beberapa perubahan tambahan akan dilaksanakan pada bulan Januari 2020 nanti.

Sentiasa kemaskini ILP anda

Secara ringkas, konsep kemampanan adalah untuk memberi kefahaman dan pengurusan kekerapan jumlah premium/sumbangan yang diperlukan untuk mengekalkan perlindungan untuk jangka waktu yang anda inginkan. Perubahan kepada tahap perlindungan, kos insurans/tabarru’ dan ’rider’ pelaksanaan cuti premium/sumbangan, serta turun naik pulangan pelaburan daripada dana ILP mampu mengubah jangkaan tempoh perlindungan. Semak polisi / sijil anda secara berkala untuk memastikan premium/sumbangan mencukupi untuk menampung pelan ILP anda.

Mulai Januari tahun depan, penanggung insurans/ pengendali takaful dikehendaki untuk mengemas kini maklumat berkaitan tempoh kemampanan ILP pemegang polisi/ sijil dapat dikekalkan pada tahap premium/sumbangan semasa, sekurang-kurangnya sekali setahun. Penanggung insurans dan pengendali takaful juga boleh menyediakan pilihan untuk meningkatkan kemampanan polisi pemegang polisi/sijil agar perlindungan mereka dapat seiring dengan keperluan mereka.

Di samping itu, jika anda ingin mengubah jadual pembayaran premium/sumbangan, membuat pengeluaran separa atau mengubah perlindungan anda, penanggung insurans/pengendali takaful anda adalah diwajibkan untuk memaklumkan kepada anda tentang kesan kepada kemampanan polisi/sijil anda sebelum melaksanakan perubahan yang dipohon. Proses ini akan membantu anda mendapatkan maklumat tentang kesan perubahan kepada polisi/sijil anda akan mempengaruhi tempoh perlindungan sebelum anda membuat keputusan muktamad.

Perubahan terhadap material pemasaran untuk ILP

Mulai 1 Januari 2020, penanggung insurans/pengendali takaful akan memperkenalkan ilustrasi produk yang baharu diseragamkan untuk bakal pelanggan baharu. Perubahan ini boleh dibahagikan kepada dua kategori utama:

● Pendedahan mudah dan diperluaskan: Dalam cadangan produk, keutamaan diberikan kepada penggunaan bahasa yang mudah dan jelas di dalam pendedahan maklumat. Pendedahan terbaharu akan meliputi fleksibiliti dan risiko pelaburan yang anda tanggung, dengan mempertengahkan jenis produk yang lebih sesuai dengan keperluan anda serta menjelaskan manfaat kegunaan premium/sumbangan anda untuk membayar insurans/tabarru’, pengurusan dana dan cajcaj lain.

● Penjelasan lebih terperinci dan telus akan ditonjolkan untuk menunjukkan bagaimana caj dan pulangan pelaburan memberi kesan kepada ILP anda.

Ilustrasi kadar pulangan pelaburan

Pada masa ini, anda akan menerima keterangan produk daripada ejen atau penasihat bankasurans anda yang akan menunjukkan premium/sumbangan caj, nilai tunai dan faedah kematian apabila anda sedang mempertimbangkan untuk membeli ILP. Nilai tunai dan faedah kematian boleh berubah dari tahun ke tahun bergantung kepada jangkaan kadar pulangan pelaburan seperti yang ditunjukkan dalam keterangan tersebut. Sebelum 1 Januari 2020, dua senario pulangan pelaburan akan ditunjukkan dan ini digariskan oleh peraturan mengikut jenis dana pelaburan umum atau dana yang anda pilih.

Mulai 1 Julai 2019, penanggung insurans/pengendali takaful telah dikehendaki untuk menetapkan kadar minimum premium/sumbangan yang dijangka mencukupi untuk menampung ILP untuk perlindungan jangka masa tetap. Kadar premium/sumbangan tersebut ditentukan dengan menggunakan kadar pulangan yang rendah daripada anggaran terbaik penanggung insurans/pengendali takaful. Seterusnya, bakal pelanggan akan ditunjukkan dengan keterangan produk mengenai prospek pencapaian polisi/sijil mengikut jangkaan pemulangan dana pelaburan yang dipilih dengan menggunakan kadar yang ditetapkan seperti yang diterangkan dalam jadual di atas (sebelum 1 Januari 2020).

Selepas 1 Januari, kadar pulangan yang ditetapkan bagi kedua-dua senario ini akan berubah kepada 2 peratus dan 5 peratus tanpa mengira pilihan dana pelaburan. Perubahan kepada kadar yang lebih rendah terbaharu tidak menggambarkan tahap pulangan yang anda boleh jangkakan, tetapi ianya hanya untuk menunjukkan bagaimana ILP berfungsi di bawah senario pelaburan yang berbeza. Ia juga konsisten dengan jenis produk lain di pasaran hari ini seperti polisi sertaan dividen membolehkan anda berkongsi keuntungan.

Dengan kadar standard baharu pada keterangan produk ILP, lebih banyak penekanan dan kepentingan diberikan kepada laporan fakta dana dan sejarah prestasi dana tertentu yang dipilih. Walaupun prestasi masa lalu tidak menjamin pulangan masa depan, laporan ini menyediakan maklumat terbaik mengenai perbandingan antara pulangan dana dengan pasaran umum. Ia juga boleh memberi gambaran mengenai prestasi masa depan dana dibawah keadaan ekonomi dan pasaran yang serupa.

Kadar pulangan baharu yang ditetapkan tidak akan menjejaskan kadar minimum premium/sumbangan yang diperlukan untuk pelan ILP yang dicadangkan. Walau bagaimanapun, keterangan produk berkemungkinan akan menunjukkan cadangan kadar premium/sumbangan yang tidak mencukupi untuk menampung polisi/sijil bagi tempoh keseluruhan perlindungan. Ini kerana anggaran terbaik pulangan pelaburan yang ditetapkan oleh penanggung insurans/pengendali takaful adalah berkemungkinan lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan, iaitu sebanyak 2 peratus dan 5 peratus.

Namun, terdapat satu pengecualian yang ketara kepada kadar pulangan baharu yang ditetapkan untuk keterangan produk ILP. Sekiranya penanggung insurans/pengendali takaful menjamin semua insurans atau Tabarru dan caj -rider dalam kontrak yang dicadangkan, senario pulangan yang tinggi untuk dana ekuiti boleh menjadi kadar purata tahunan bagi pulangan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sepanjang 10 tahun yang lalu. Kadar ini akan berubah setiap tahun.

Menguruskan ILP anda

Untuk polisi/sijil baharu yang dikeluarkan selepas Januari 2020 yang merangkumi perlindungan boleh semak dengan caj insurans/tabarru’ untuk rider - seperti insurans/takaful perubatan dan kesihatan – penanggung insurans/pengendali takaful dikehendaki meningkatkan premium sumbangan untuk mengekalkan kemampanan polisi/sijil untuk tempoh penuh sekiranya kos insurans rider meningkat. Pemegang polisi/sijil akan dimaklumkan tentang pilihan untuk tindakan tertentu seperti pengurangan perlindungan, pengurangan tempoh polisi/sijil perlindungan atau mengeluarkan perlindungan rider sama sekali.

Untuk masa hadapan, pelan berkaitan pelaburan dijangka akan terus popular di pasaran. Ciri-ciri fleksibel dan pilihan pelaburan sangat menarik perhatian pengguna. Perubahan garis panduan ini mengingatkan anda supaya sentiasa menyemak dan mengemas kini ILP anda mengikut keperluan bagi memastikan perlindungan anda terus memenuhi keperluan anda.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi penanggung insurans/pengendali takaful anda atau wakil yang bertauliah.

Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X