Selasa, 24 Disember 2019 | 7:12pm

Dong Jiao Zong sedia berdialog selesaikan isu tulisan Jawi

KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) setuju agar isu pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular diselesaikan melalui dialog.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, kedua-dua persatuan itu yang mahu dikenali sebagai Dong Jiao Zong, mengakui bersedia mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik bagi menyelesaikan isu itu sebelum atau selepas 28 Disember ini.

Bagaimanapun, kedua-dua persatuan itu tidak menyatakan sama ada kongres tertutup bagi membincangkan isu pembelajaran jawi yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini akan diteruskan atau tidak.

Dong Jiao Zong dalam kenyataan itu menjelaskan mereka menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak membantah tulisan jawi.

“Dong Jiao Zong juga bersetuju dengan isi kandungan buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tahun Lima sedia ada yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk seni tulisan jawi,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu bagi mengulas saranan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa isu tulisan jawi diselesaikan melalui dialog.

Semalam, Anwar dilaporkan menggesa pertembungan dua pihak berikutan polemik mengenai tulisan jawi diselesaikan menerusi ruang dialog, bukan penganjuran sebarang sidang yang dikhuatiri bakal menghangatkan suasana politik dan kaum.

Khamis lalu, Dong Jiao Zong menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres membantah tulisan jawi bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular.

Kongres itu dijadual berlangsung di Kolej New Era, Kajang pada Sabtu ini dengan matlamat kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.

Ogos lalu, sembilan pertubuhan berkaitan pendidikan Cina membantah pelaksanaan tulisan jawi untuk pelajar Tahun Empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) di negara ini.

Susulan itu, Kabinet memutuskan pengajaran tulisan jawi itu tertakluk kepada persetujuan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di sekolah vernakular.

Dong Jiao Zong menegaskan perbezaan pandangan yang timbul perlu diselesaikan melalui perbincangan rasional dan semangat toleransi bagi meningkatkan keharmonian dan perpaduan antara kaum demi kemakmuran dan kemajuan negara.

“Dong Jiao Zong mengalu-alukan keprihatinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) mengenai isu pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu di SJK.

“Kami sependapat dengan cadangan Anwar iaitu menyelesaikan isu tulisan Jawi melalui dialog,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dong Jiao Zong menggesa Kementerian Pendidikan mendapatkan pandangan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) sebelum membuat keputusan melaksanakan pengenalan tulisan Jawi di SJK.

Ini kerana menurut mereka, LPS adalah komponen penting dalam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang turut diwakili Kumpulan Penyokong Sekolah, Kumpulan Pemegang Amanah Harta Sekolah, PIBG, bekas murid sekolah dan wakil Menteri Pendidikan.

“Kedudukan dan kuasa LPS bagi pengurusan sekolah termaktub dalam Akta Pendidikan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X