Khamis, 26 Disember 2019 | 5:10pm
Keratan akhbar BH pada Selasa.

Operasi IWK tak akan diserah kepada Air Selangor

KUALA LUMPUR: Kelemahan aspek pengkuatkuasaan oleh kerajaan negeri Selangor antara sebab berulang gangguan bekalan air terawat, apabila loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran sumber air mentah.

Sehubungan itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar, berkata operasi loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) tidak akan diserah kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), seperti diminta kerajaan negeri.

“Pengendalian operasi oleh IWK adalah mengikut standard antarabangsa dan tiada sebarang masalah mengenainya.

“Masalah pencemaran sumber air disebabkan oleh kurangnya pengkuatkuasaan pada pihak kerajaan negeri, yang kita nampak perlu dipertingkatkan.

“Masalah itu juga disebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sistem kumbahan IWK di negeri terbabit.

“Jika dilihat, ini adalah masalah negeri dan kerajaan Selangor perlu meningkatkan aspek pengkuatkuasaan di kawasan mereka,” katanya yang dihubungi BH, baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kelmarin yang meminta Kerajaan Persekutuan segera memberikan kebenaran kepada Air Selangor, untuk mengendalikan operasi IWK di negeri itu.

Amirudin berkata, langkah berkenaan perlu bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) untuk melepaskan air ke sungai seperti ditetapkan IWK, yang kini dikatakan masih pada tahap rendah, dapat diselaraskan dengan Air Selangor.

Sabtu lalu, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih, akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang bahan sisa haram di lurang pembetungan sekitar loji kumbahan IWK di Bukit Mahkota.

Pemberhentian tugas LRA Sungai Semenyih itu menjejaskan 1.5 juta pengguna di 348 kawasan membabitkan Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, IWK adalah syarikat pembetungan yang dibentuk bagi memberi manfaat ke seluruh negara dan bukan bagi kepentingan sesebuah negeri.

Beliau berkata, selain memperuntukkan dana yang besar bagi tujuan itu, kerajaan juga memiliki kepakaran yang diiktiraf untuk terus mengguna pakai sistem sedia ada.

Justeru, katanya, Air Selangor dan kerajaan negeri Selangor perlu mengkaji semula sistem bekalan dan standard perkhidmatan, bagi mengelak gangguan bekalan air daripada berulang, terutama menjelang musim perayaan.

“Tapi harus diingat, masalah juga boleh berlaku disebabkan adanya pihak tidak bertanggungjawab berbuat demikian, sama ada dengan tujuan menjimatkan perbelanjaan mereka atau sabotaj kepada Air Selangor sendiri.

“Kita tidak mahu setiap kali menjelang sambutan hari perayaan, berlaku kejadian gangguan bekalan air seperti ini. Sehubungan itu, perkara ini juga perlu disiasat sepenuhnya oleh pihak polis,” katanya.

Xavier berkata, kementeriannya dan kerajaan negeri Selangor akan bermesyuarat Januari depan, bagi membincangkan masalah gangguan bekalan air di negeri itu.

“Kita akan membincangkan langkah bagaimana meningkatkan bekalan air terawat di antara 10 hingga 15 peratus,” katanya.

Berita Harian X