Jumaat, 27 Disember 2019 | 7:09pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Dong Zong batal perhimpunan

KUALA LUMPUR: Persidangan isu tulisan jawi anjuran Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di Kajang esok, dibatalkan selepas mendapat perintah mahkamah.

Ahli Jawatankuasa Dong Zong, Low Chee Chong, berkata pihaknya akur dengan larangan mahkamah yang diterima jam 5.10 petang tadi.

Sehubungan itu, katanya, semua wakil dan pertubuhan terbabit diminta membatalkan kehadiran ke Persidangan Pertubuhan Cina berkenaan.

“Pihak polis mendapatkan perintah mahkamah atas alasan mengganggu ketenteraman dan tidak membenarkan persidangan ini diadakan di sebuah kolej di Kajang yang dijadual berlangsung esok.

“Dong Zong akan memberi maklum balas seterusnya selepas perbincangan dalaman selepas ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak tampil mendesak Dong Zong membatalkan hasrat persekutuan itu dalam menganjurkan kongres isu pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Desakan dibuat susulan tindakan Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) mahu meneruskan kongres isu pembelajaran tulisan jawi itu.

Lebih 100 pertubuhan Cina di seluruh negara menyatakan persetujuan untuk hadir dan menegaskan persidangan terbabit tidak menyentuh isu perkauman, sebaliknya menjurus kepada aspek pendidikan di sekolah.

Kerajaan sebelum ini mengingatkan penganjuran kongres oleh Dong Zong bagi membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular boleh mencetuskan kekacauan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kebimbangan tindakan Dong Zong itu akan menyebabkan pihak tertentu bertindak balas.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X