Isnin, 30 Disember 2019 | 3:59pm

Tindakan polis bertentangan dasar Malaysia Baharu - Guan Eng

PUTRAJAYA: Tindakan polis menggunakan mahkamah bagi menyekat persidangan isu tulisan jawi di sebuah kolej di Kajang, Khamis lalu, tidak selari dengan dasar Malaysia Baharu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pihaknya kecewa dengan polis yang tidak bertindak adil apabila menghalang penganjuran persidangan terbabit.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya percaya kebebasan bersuara adalah seiring dengan semangat Malaysia Baharu, maka tiada sebab persidangan anjuran Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dihalang.

“Contoh seperti penganjuran Kongres Maruah Melayu yang dibenarkan penganjurannya maka ia (persidangan tulisan jawi) harus dibenarkan.

“Mungkin ada pihak tidak bersetuju dengan pandangan ini namun saya juga mahu jelaskan tulisan jawi akan diperkenalkan secara pilihan...bukannya seperti dulu iaitu wajib. Ia akan diputuskan oleh ibu bapa.

“Akan ada pihak tidak setuju tetapi ini adalah salah satu aspek Malaysia Baharu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Festival LIFT Putrajaya 2019 di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, perkara itu dijadikan isu yang kononnya merunsingkan negara oleh pihak yang memutarbelitkan fakta dan dimainkan pihak tertentu.

Beliau berkata, perkara terbabit akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang selepas pelbagai perkembangan baharu terjadi membabitkan isu terbabit.

“Saya melihat isu ini menjadi mainan talam dua muka oleh parti politik untuk mewujudkan suasana tegang.

“Perkembangan terbaru ini akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Jumaat lalu, BH melaporkan persidangan isu tulisan jawi anjuran Dong Zong di Kajang keesokannya, dibatalkan selepas mendapat perintah mahkamah.

Ahli Jawatankuasa Dong Zong, Low Chee Chong, dilaporkan berkata pihaknya akur dengan larangan mahkamah.

Sebelum ini, pelbagai pihak tampil mendesak Dong Zong membatalkan hasrat persekutuan itu dalam menganjurkan kongres isu pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Desakan dibuat susulan tindakan Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) mahu meneruskan kongres isu pembelajaran tulisan jawi itu.

Lebih 100 pertubuhan Cina di seluruh negara menyatakan persetujuan untuk hadir dan menegaskan persidangan terbabit tidak menyentuh isu perkauman, sebaliknya menjurus kepada aspek pendidikan di sekolah.

Kerajaan sebelum ini mengingatkan penganjuran kongres oleh Dong Zong bagi membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular boleh mencetuskan kekacauan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kebimbangan tindakan Dong Zong itu akan menyebabkan pihak tertentu bertindak balas.

Guan Eng menyampaikan ucapan pada majlis penutup Festival LIFT Putrajaya 2019 di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Guan Eng menyampaikan ucapan pada majlis penutup Festival LIFT Putrajaya 2019 di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X