Rabu, 1 Januari 2020 | 5:49pm

NGO berhimpun desak Dong Zong diharamkan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 orang berhimpun secara aman mendesak Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) diharamkan berhubung isu pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Perhimpunan anjuran bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) turut menuntut semua pihak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Presiden GAMIS, Saifullah Baiduri, menjelaskan tindakan Dong Zong bertentangan dan menyalahi Akta Pendidikan 1996 serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

“Pembelajaran jawi di semua sekolah termasuk sekolah vernakular bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan, namun tindak-tanduk Dong Zong menghalang (pembelajaran jawi) mengganggu perpaduan.

“Kami kecewa dengan tindakan Dong Zong yang sekali lagi cuba memporak-perandakan perpaduan kaum dengan menyemai sikap anti-nasionalime.

“Perhimpunan hari ini mendesak Dong Zong diharamkan,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan itu perkarangan sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

ORANG ramai berhimpun mendesak Dong Zong diharamkan di perkarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri
ORANG ramai berhimpun mendesak Dong Zong diharamkan di perkarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri

Saifullah berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bagi mempertahankan kedaulatan tulisan jawi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nazir Helmi, mempersoalkan tindakan Dong Zong yang didakwa sengaja memperbesarkan isu pembelajaran jawi.

“Isu pembelajaran jawi hanya tiga muka surat tetapi mereka memperbesarkan isu ini. Mereka sengaja mengambil kesempatan. Ada juga parti politik berkepentingan menggunakan isu ini semata-mata untuk mendapatkan undi,” katanya.

Terdahulu, kumpulan berbaju putih itu berkumpul di perkarangan Masjid Jamek kira-kira jam 2 petang sebelum berarak dan berhimpun di hadapan pusat beli-belah berkenaan sambil dipantau polis.

Mereka bersurai kira-kira jam 3.30 petang tanpa kekecohan.

Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dilaporkan mahu menganjurkan kongres isu pembelajaran tulisan jawi.

Lebih 100 pertubuhan Cina di seluruh negara menyatakan persetujuan untuk hadir dan menegaskan persidangan terbabit tidak menyentuh isu perkauman, sebaliknya menjurus kepada aspek pendidikan di sekolah.

Bagaimanapun, penganjuran kongres itu dibatalkan selepas polis mendapatkan perintah mahkamah melarang kongres itu dianjurkan.

ORANG ramai berhimpun mendesak Dong Zong diharamkan di perkarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri
ORANG ramai berhimpun mendesak Dong Zong diharamkan di perkarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri

ORANG ramai berhimpun mendesak Dong Zong diharamkan di perkarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri
ORANG ramai berhimpun mendesak Dong Zong diharamkan di perkarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri
Berita Harian X