Khamis, 2 Januari 2020 | 5:48pm
Pengerusi Persatuan Dong Zong ,Tan Tai Kim (tengah) ketika sidang media selepas menyerahkan memorandum mengenai tulisan jawi di Kementerian Pendidikan Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pengerusi Persatuan Dong Zong ,Tan Tai Kim (tengah) ketika sidang media selepas menyerahkan memorandum mengenai tulisan jawi di Kementerian Pendidikan Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Dong Zong serah memorandum tolak belajar Jawi

PUTRAJAYA: Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) hari ini menyerahkan memorandum penolakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular kepada Kementerian Pendidikan, di sini.

Memorandum diserahkan Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim, bersama dua pertubuhan Tamil disertai Pengarah CHILD Information, Learning and Development Centre, K Arumugam dan Presiden Tamil Foundation, M Thiraviam.

Tai Kim berkata, pihaknya tidak membantah pembelajaran tulisan Jawi tetapi perlu dipersetujui secara sukarela oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid, bukan secara paksaan yang boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat Cina serta India.

Beliau berkata, penyerahan membabitkan empat usul yang diluluskan dengan pendirian mempertahankan hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah supaya mempunyai hak dan kuasa penentuan terhadap segala dasar Kementerian Pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Katanya, Dong Zong turut meminta kerajaan prihatin terhadap pandangan masyarakat Cina dan India supaya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran tulisan Jawi dibatalkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di SJK.

“Kami setuju sekolah dijadikan medium memupuk semangat kepelbagaian budaya melalui kaedah interaksi budaya yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum termasuk Jawi, Cina, Tamil dan kaum lain.

“Ia boleh dirujuk melalui buku teks Bahasa Melayu Tahun Lima 5 SJK yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum.

“Kita juga mencadangkan Kementerian Pendidikan berdialog bersama pertubuhan pendidikan Cina bagi membincangkan masalah ini sebelum dilaksanakan,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan di sini, hari ini.

Memorandum diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Habibah Abdul Rahim.

Menerusi kempen dan kajian dijalankan Dong Zong terhadap SJKC, lebih 900 sekolah didakwa menolak pembelajaran tulisan Jawi dan menyifatkannya bukan dalam konteks kepelbagaian.

Penolakan dikatakan turut menerima sokongan 17 pertubuhan Cina termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X