Khamis, 2 Januari 2020 | 6:45pm

Salahuddin tak tahu Maszlee letak jawatan

KANGAR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, tidak tahu menahu mengenai keputusan peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang perbincangan dilakukan dalam Kabinet bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai peletakan jawatan mana-mana menteri sebelum ini.

“Memang saya ada baca tadi yang menyatakan kemungkinan beliau akan letak jawatan tetapi dia akan buat sidang akhbar petang ini.

“Saya bangun pagi tadi bersiap terus ke Alor Setar untuk dengar taklimat daripada MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan hanya fikir pasal NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan), masalah padi dan petani.

“Jadi, saya tak fikir langsung pasal perkara itu (peletakan jawatan Maszlee),” katanya pada sidang media sempena Lawatan Kerja Sehari Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Kedah dan Perlis, di Kampung Sempering di sini, hari ini.

Sebentar tadi, Maszlee, dalam sidang akhbarnya di lobi Kementerian Pendidikan, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa esok.

Ditanya mengenai rombakan Kabinet, Salahuddin menyerahkan segala keputusan kepada Dr Mahathir mengenainya.

“Kalau nak diikutkan, ‘hint’ (ura-ura) mengenai saya tak ada dalam Kabinet pun ada. Macam-macam saya dengar.

“Keputusan untuk kekal (dalam Kabinet) adalah hak mutlak Tun (Dr Mahathir), jadi kita tunggu sajalah kalau ada,” katanya.

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika ditemui di Kampung Sempering, Kangar, hari ini. - Foto Amran Hamid
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika ditemui di Kampung Sempering, Kangar, hari ini. - Foto Amran Hamid

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X