Khamis, 2 Januari 2020 | 8:00pm
Pihak berkuasa diminta bertindak terhadap laman Facebook kumpulan antivaksin yang kini semakin aktif diikuti lebih 40,000 ahli. Laman khas FB kumpulan itu yang wujud sejak 2016 dijadikan platform penyebaran dakyah menentang program vaksinasi negara. - Foto hiasan
Pihak berkuasa diminta bertindak terhadap laman Facebook kumpulan antivaksin yang kini semakin aktif diikuti lebih 40,000 ahli. Laman khas FB kumpulan itu yang wujud sejak 2016 dijadikan platform penyebaran dakyah menentang program vaksinasi negara. - Foto hiasan

Pantau laman FB antivaksin

KUALA LUMPUR: Sekumpulan individu radikal tempatan yang menolak kaedah perubatan moden berjaya menarik sehingga lebih 40,000 ahli di media sosial bagi mempromosikan kepercayaan mereka.

Laman Facebook kumpulan itu juga menjadi medan interaksi golongan antivaksin untuk bertukar pendapat dan berkongsi idea untuk menolak program kesihatan kerajaan dan usaha pengamal perubatan memperbetulkan persepsi masyarakat.

Kumpulan ini yang wujud sejak 2016 itu turut menjadi wadah alam maya penentang program vaksinisasi negara sehingga menjadi rujukan utama kepada ibu bapa yang meragui vaksin.

Individu yang mewujudkan kumpulan itu adalah pendukung utama gerakan antivaksin di Malaysia dan menggunakan platform media sosial ini untuk menarik lebih ramai rakyat negara itu menyertai gerakan itu.

Terbaru, BH mendapati kumpulan ini mula menyebar dakyah bahawa kehadiran semula penyakit polio di Malaysia bukan akibat penolakan vaksinasi, sebaliknya berpunca daripada suntikan vaksin yang diberikan kerajaan.

Dakyah yang disebar ini begitu diyakini sehinggakan jika ada ahli yang meraguinya akan diserang dengan pelbagai maklumat yang diselewengkan.

Antara interaksi golongan yang menolak vaksin dikesan dalam kumpulan FB antivaksin.
Antara interaksi golongan yang menolak vaksin dikesan dalam kumpulan FB antivaksin.

Aktivis perubatan negara, Dr Suhazeli Abdullah, berkata kewujudan kumpulan Facebook ini begitu membimbangkan kerana ia mampu mempengaruhi masyarakat, lebih-lebih lagi ketika wujud gerakan antivaksin.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), golongan antivaksin ini tidak ramai tetapi suara mereka terlalu vokal dan mampu mempengaruhi orang ramai.

“Golongan ini menggunakan pseudosains dan menciplak artikel dari Google lalu membuat ulasan sendiri dengan kefahaman cetek mereka terhadap sesuatu isu biarpun mereka bukan ahli dalam bidang atau agama.

“Maklumat yang disampaikan begitu mengelirukan, namun ia mampu mempengaruhi mereka yang kurang kefahaman,” katanya kepada BH.

Suhazeli yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) berkata, kumpulan antivaksin atau vaccine denier ini mampu mempengaruhi orang ramai menerusi penulisan yang tidak tepat.

Aktivis perubatan negara, Dr Suhazeli Abdullah. - FB/Dr Suhazeli Abdullah
Aktivis perubatan negara, Dr Suhazeli Abdullah. - FB/Dr Suhazeli Abdullah

Katanya, mereka membuat penafsiran sendiri dan tidak mendapat maklumat benar daripada doktor serta banyak merujuk kepada jaringan kumpulan antivaksin antarabangsa.

“Ia bukan sahaja masalah negara tetapi juga dunia kerana WHO sudah mengisytiharkan kumpulan antivaksin itu sebagai satu ancaman besar kepada kesihatan dunia,” katanya.

Pengerusi Immunise4life, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, pula menjelaskan maklumat yang dikongsi kumpulan radikal ini hanya diceduk dari internet.

“Gerakan antivaksin memang sangat aktif kerana jika kita ‘Google’ mengenai fakta vaksin atau imunisasi, 10 hingga 20 carian pertama yang muncul datang daripada kumpulan ini.

“Di Malaysia, gerakan ini biasanya mengemukakan data dari Amerika Syarikat yang diketahui mempunyai bilangan kumpulan antivaksin yang ramai.

Dr Zulkifli berkata, mereka juga sering mencanangkan kajian Dr Andrew Wakefield mengenai kaitan vaksin dan autism biarpun kajian itu sudah disahkan masyarakat perubatan antarabangsa sebagai satu penipuan.

NGO kecewa tiada tindakan diambil

Badan bukan kerajaan (NGO) kecewa kerana laporan saban tahun kepada pihak berkuasa mengenai kewujudan kumpulan khas Facebook yang menyebarkan fahaman antivaksin seolah-olah tidak diendahkan.

Ketiadaan tindakan pihak berkuasa susulan aduan itu menyebabkan kumpulan Facebook itu semakin aktif dan bilangan ahlinya meningkat.

Presiden dan Pengasas Bersama Medical Mythbusters Malaysia (M3), Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, berkata beberapa NGO sebelum ini sudah mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau berkata, pertubuhan dan agensi berkenaan hanya menyatakan mereka mengambil maklum mengenai kewujudan kumpulan itu di media sosial tetapi tidak menterjemahkan kepada tindakan.

Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris. - Foto NSTP
Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris. - Foto NSTP

“Secara peribadi, kami turut bertemu dan berbincang dengan wakil WHO mengenai perkara ini dan mendapat maklum balas mengapa kumpulan itu dipercayai masih lagi aktif meskipun sudah beberapa kali dilaporkan.

“Antara lain, ia menyatakan keadaan ini disebabkan soal hak kebebasan bersuara serta mereka beroperasi dalam kumpulan tertutup.

“Namun begitu, saya mendapat maklumat banyak pemilik akaun Facebook palsu dikesan sudah lenyap, berkemungkinan kerana tindakan Facebook menutup akaun berkenaan baru-baru ini,” katanya kepada BH.

M3 adalah NGO kalangan pengamal perubatan tempatan yang mengambil inisiatif memperbetulkan tanggapan salah masyarakat terhadap mitos dan dakwaan tidak benar mengenai perubatan moden, khususnya di media sosial.

Dr Ahmad Firdaus berkata, pihaknya bimbang dengan kewujudan kumpulan Facebook itu kerana ia membabitkan sensitiviti masyarakat.

Kumpulan promosi pelbagai dakyah tolak program kesihatan kerajaan. - Foto hiasan
Kumpulan promosi pelbagai dakyah tolak program kesihatan kerajaan. - Foto hiasan

Katanya, masyarakat hari ini percaya dengan teori konspirasi serta cerita tidak benar seperti kematian seorang bayi di Amerika Syarikat (AS) yang didakwa akibat suntikan vaksin.

“Sebenarnya cerita itu tidak benar kerana hasil post mortem mendapati bayi itu meninggal dunia kerana penyakit lain dan bukannya akibat suntikan vaksin.

“Tetapi ramai di antara mereka tidak mahu mendengar penerangan yang tepat dan lebih mempercayai dakyah yang disebarkan oleh individu yang tidak berkelayakan,” katanya.

Berita Harian X