Selasa, 14 Januari 2020 | 12:23pm

Insentif e-Tunai Rakyat boleh dituntut mulai esok

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang layak, boleh menuntut insentif e-Tunai Rakyat bernilai sekurang-kurangnya RM30, bermula jam 8 pagi esok.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata tuntutan itu boleh dibuat melalui salah satu daripada tiga pengendali e-dompet terpilih, iaitu Grab, Boost atau Touch ‘n Go, dan dijangka diperoleh dalam masa lima hari bekerja.

Beliau berkata, kira-kira 15 juta rakyat negara ini yang berusia 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM100,000 setahun, layak menerima insentif berkenaan.

“Pengendali e-dompet juga akan menambah baik pemberian RM30 wang percuma yang dibiayai kerajaan itu dengan memberikan insentif tersendiri.

“Ini bermakna rakyat Malaysia yang layak akan menerima lebih daripada RM30 wang percuma melalui insentif ini, yang akan diumumkan sendiri pengendali e-dompet terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai e-Tunai Rakyat di kementeriannya, di sini, hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Kewangan ketika sidang media Pengumuman Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat di Kementerian Kewangan Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Kewangan ketika sidang media Pengumuman Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat di Kementerian Kewangan Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Inisiatif e-Tunai Rakyat yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lalu, membabitkan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai.

Guan Eng berkata, bagi memastikan inisiatif terbabit mempercepatkan proses digitalisasi, wang RM30 itu perlu dibelanjakan penerima hingga 14 Mac 2020, manakala baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas tarikh berkenaan.

Selain itu, rakyat perlu menuntut wang berkenaan selewat-lewatnya pada 9 Mac depan melalui pengendali e-dompet terpilih.

“Kementerian Kewangan juga menggalakkan semua peniaga supaya berdaftar dengan satu atau semua pengendali e-dompet berkenaan supaya mereka mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

“Hingga kini, lebih lapan juta peniaga menyediakan perkhidmatan pembayaran melalui e-dompet berkenaan,” katanya.

Mengenai pengesahan mereka yang layak menerima insentif itu, Guan Eng berkata, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) selaku pelaksana program menjalankan tiga peringkat pemeriksaan, iaitu pengesahan kad pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan tuntutan hanya daripada satu pengendali e-dompet.

Selain itu, beliau berkata, pemilihan pengendali e-dompet pula dibuat berdasarkan kemampuan syarikat terbabit untuk melaksanakan inisiatif berkenaan dengan cepat dan berkesan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X