Rabu, 15 Januari 2020 | 12:23pm
Penjualan kasut sekolah berwarna hitam di pusat beli-belah di Kuching. - Gambar hiasan/Nadim Bokhari
Penjualan kasut sekolah berwarna hitam di pusat beli-belah di Kuching. - Gambar hiasan/Nadim Bokhari
Maklum balas bagi soalan kajian yang boleh diakses melalui pautan https://bit.ly/2FOo6Jh
Maklum balas bagi soalan kajian yang boleh diakses melalui pautan https://bit.ly/2FOo6Jh

Kementerian dapatkan pandangan sekolah pelaksanaan kasut, stoking hitam

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang mendapatkan maklum balas sekolah berhubung pelaksanaan pemakaian kasut dan stoking hitam.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu surat pekeliling bertarikh semalam dikeluarkan kementerian berkenaan yang kini tular di media sosial.

Pemakaian kasut dan stoking hitam dilaksanakan secara beransur-ansur bermula sesi persekolahan 2019 hingga 2021 berdasarkan pekeliling ikhtisas KPM Bilangan 10 tahun 2018.

“Sukacita dimaklumkan KPM berpandangan terdapat keperluan untuk melakukan kajian pelaksanaan pemakaian kasut hitam oleh murid berdasarkan dapatan diperoleh pihak sekolah.

“Sehubungan itu, KPM memohon kerjasama pihak sekolah membantu kajian ini dengan melengkapkan maklum balas bagi soalan kajian yang boleh diakses melalui pautan http://gg.gg/kasuthitam2020,” kata kementerian berkenaan dalam pekeliling terbabit.

Surat pekeliling itu ditandatangani Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd Jamil Mohamed.

Menerusi pautan dikongsi, KPM memaklumkan prihatin berkaitan isu warna kasut sekolah dalam kalangan murid.

“Dapatan libat urus menunjukkan majoriti responden termasuk ibu bapa bersetuju dengan pemakaian kasut hitam berbanding kasut putih oleh murid sekolah.

“KPM ingin mendapatkan dapatan data pelaksanaan pemakaian kasut hitam di peringkat sekolah dan setiap sekolah perlu mengisi kajian pelaksanaan ini sebelum atau pada 31 Januari,” tulis pautan itu.

Berdasarkan pautan yang dikongsi juga menerusi surat pekeliling itu, pihak sekolah perlu melengkapkan beberapa maklumat termasuk butiran sekolah dan pelajar.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mahu semua murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah memakai kasut hitam mulai 2019 susulan keluhan daripada ibu bapa yang mengadu mengenai kebersihan kasut putih dipakai anak mereka.

Langkah itu berupaya membantu menceriakan pelajar terutama dalam menjalankan aktiviti luar bilik darjah.

Berita Harian X