Khamis, 16 Januari 2020 | 2:21pm

Isu kasut hitam sepatutnya sudah selesai

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepatutnya sudah membuat kajian dan mendapatkan maklum balas sebelum penguatkuasaan pemakaian kasut dan stoking hitam.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri, Datuk Razali Idris menegaskan, ibu bapa sudah menerima baik pemakaian kasut dan stoking hitam yang dikuatkuasa mulai sesi persekolahan awal Januari lalu.

Katanya, kenyataan terbaharu menerusi surat pekeliling dikeluarkan KPM kelmarin yang tular di media sosial mengejutkan pelbagai pihak terutamanya ibu bapa serta warga pendidik.

"Selepas kenyataan itu dikeluarkan, timbul pelbagai persoalan termasuk mengaitkan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menggunakan kuasa veto, tanpa mendapatkan maklum balas KPM dalam menguatkuasakan pemakaian kasut dan stoking hitam.

"Sepatutnya isu ini sudah selesai serta tidak perlu lagi diadakan kajian maklum balas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Razali yang juga Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata demikian sebagai mengulas kenyataan KPM yang memohon kerjasama pihak sekolah melengkapkan maklum balas kajian mengenai pemakaian kasut dan stoking hitam.

Pemakaian kasut dan stoking hitam dilaksanakan secara beransur-ansur bermula sesi persekolahan 2019 hingga 2021 berdasarkan pekeliling ikhtisas KPM Bilangan 10 tahun 2018.

Berdasarkan pekeliling ditandatangani Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Datuk Mohd Jamil Mohamed, KPM berpandangan terdapat keperluan untuk melakukan kajian pelaksanaan pemakaian kasut hitam oleh murid berdasarkan dapatan diperoleh pihak sekolah.

Razali berkata, pekeliling dikeluarkan itu juga seolah-olah terdapat usaha pihak KPM mensabotaj pelantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemangku Menteri Pendidikan.

"Saya berharap Dr Mahathir dan KPM dapat membuat keputusan sewajarnya agak perkara ini tidak membebankan pelajar, ibu bapa serta guru," katanya.

Berita Harian X