Jumaat, 17 Januari 2020 | 11:37am

'Program e-Tunai Rakyat hadiah kerajaan kepada rakyat'

PUTRAJAYA: Sebanyak 672,000 daripada 784,000 permohonan program e-Tunai Rakyat diluluskan hingga jam 10 malam tadi dengan lebih RM18 juta dibelanjakan pengguna pada hari kedua pelaksanaannya melalui tiga pengendali e-dompet di negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jumlah berkenaan menunjukkan program itu mendapat reaksi amat menggalakkan daripada rakyat dan kerajaan berharap permohonannya meningkat dari semasa ke semasa.

"Reaksi yang ditunjukkan amat menggalakkan. Kita berharap lebih ramai orang memohon.

"Ini adalah hadiah kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk rakyat berbelanja. Maka, belanjalah," katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menanda tangan Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT 2) di antara MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd.

Program e-Tunai Rakyat dilancarkan Selasa lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Inisiatif ini diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lalu yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X