Jumaat, 17 Januari 2020 | 5:18pm
Para peserta bergambar bersama sebagai kenangan selepas Program BALAS di Negeri Johor yang diadakan pada 10 hingga 12 Januari 2020.

PTPTN, KPLB latih lepasan SPM

KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 1,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima manfaat menerusi pelaksanaan Program Buat Apa Lepas SPM (BALAS) yang mengkhususkan perkongsian berkaitan peluang kerjaya dan pengajian selepas tamat persekolahan.

Inisiatif dilaksana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu, memfokuskan kepada lepasan SPM dari luar bandar.

Para peserta menumpukan perhatian dan reaksi semasa sesi ceramah.

PTPTN dalam satu kenyataan menjelaskan, matlamat penganjuran program BALAS bagi membantu pelajar lepasan SPM luar bandar lebih bersedia untuk mengorak langkah tepat demi kejayaan masa depan.

“PTPTN menyediakan peruntukan sebanyak RM375,000 bagi menjayakan program BALAS, manakala agensi-agensi kemajuan wilayah di bawah KPLB pula menyediakan peserta dan kemudahan lain untuk pelaksanaan program.

“Menerusi enam siri bootcamp yang dianjurkan, seramai hampir 1,000 pelajar lepasan SPM luar bandar dari kawasan terpilih di seluruh negara bakal menerima manfaatnya,” katanya.

Latihan dan aktiviti berkumpulan turut diadakan kepada para peserta.

Katanya, program berlangsung selama tiga hari dua malam di enam lokasi bermula sejak 10 Januari lalu sehingga 22 Mac depan, dengan sesi pertama berlangsung di Johor Tiram Indah Village, Ulu Tiram, Johor.

Lokasi seterusnya di Terengganu pada 17 hingga 19 Januari; Kota Bharu, Kelantan (28 hingga 30 Januari); Jitra, Kedah (7 hingga 9 Februari); Pulau Pinang (6 hingga 8 Mac)

serta Wilayah Persekutuan pada 20 hingga 22 Mac depan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, menerusi informasi dan bimbingan di bawah program BALAS ini, peserta dapat membuat keputusan yang tepat dalam memilih laluan pendidikan dan kerjaya kelak.

Salah seorang peserta menerima hadiah peserta terbaik daripada Puan Hajah Azlinda Abd Latif, Pegawai Khas Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar (kedua dari kiri) dan Puan Mastura Mohd Khalid, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi), PTPTN (pertama dari kiri) sempena Majlis Penutup Program BALAS bertempat di Johor Tiram Indah Village, Ulu Tiram.

“Saya bangga pertama kali PTPTN melakukan kerjasama strategik dengan KPLB untuk membantu anak bangsa dari kawasan luar bandar.

“Kita akan cuba pelbagaikan kolaborasi strategik antara agensi sebegini supaya dapat mendekati lebih ramai lagi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata langkah proaktif diambil oleh KPLB dan PTPTN akan mempersiapkan generasi muda merancang masa depan pendidikan serta kerjaya mereka.

“Saya juga gembira kerana program BALAS ini turut mempunyai komponen pembinaan sahsiah yang mampu menjadi modal terpenting untuk masa depan mereka,” katanya.

Berita Harian X