Jumaat, 17 Januari 2020 | 10:32pm
Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto NSTP

Najib dan Rosmah akan dipanggil Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis dalam tempoh terdekat ini, bagi membantu siasatan kes berkaitan sembilan rakaman audio yang sebelum ini didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata beberapa individu lain termasuk bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang dikaitkan dengan klip audio itu akan turut dipanggil.

“Kita akan panggil semua saksi dikaitkan dengan sembilan rakaman audio berkenaan. Insya-Allah (kita akan rakam keterangan mereka) dalam masa terdekat,” katanya pada BH, hari ini.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memberi keterangan selama hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

Selain Latheefa, turut memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah, Dzulkifli dan Abdul Azeez yang perbualan mereka dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu yang juga membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan selama 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman perbualan yang didedahkan itu dipercayai berlaku di antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan, tetapi agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit adalah tulen.

Sementara itu, Latheefa mengesahkan polis sudah memulakan siasatan terhadap laporan komplot mencemarkan reputasi beliau susulan berikutan pendedahan 9 rakaman audio terbabit.

Katanya, beliau gembira terhadap kerjasama ditunjukkan polis ketika memberi keterangan kepada pasukan penyiasat dari Bukit Aman, petang kelmarin.

“Polis sudah memulakan siasatan dengan proses merakam kenyataan. Kami memberikan kerjasama penuh dan berharap ia berjalan lancar,” katanya yang tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula ke Bukit Aman bagi tujuan sama.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis persaraan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Jaafar Mahar, yang bersara wajib berkuat kuasa 20 Januari ini dan digantikan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Datuk Junipah Wandi.

Berita Harian X