Sabtu, 18 Januari 2020 | 8:24pm

BN pertahan kerusi Parlimen Kimanis

BEAUFORT: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis menerusi kemenangan calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 2,029 undi.

Menerusi keputusan rasmi yang diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK, Jupery Etok di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini jam 9.29 malam ini, Mohamad diisytihar pemenang dengan memperoleh 12,706 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi pada 79.92 peratus dengan 320 undi ditolak.

Mohamad menewaskan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang, 66, yang mendapat 10,677 undi dalam persaingan satu lawan satu itu.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut dengan 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada di luar negara.

Majoriti diperoleh BN kali ini adalah jauh lebih besar berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketika itu, calon BN, Datuk Seri Anifah Aman, memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar, meraih 11,942 undi manakala Karim yang turut bertanding mewakili WARISAN mendapat 11,786 undi. Calon Harapan Rakyat, Jaafar Ismail, sekadar meraih 1,300 undi.

Anifah bagaimanapun mengumumkan keluar UMNO tidak lama selepas itu dan kekal di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Bebas.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos tahun lalu bahawa kemenangannya di Parlimen Kimanis pada PRU-14 tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Karim memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah.

  • Lagi berita mengenai PRK Parlimen Kimanis
  • BN mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Kimanis menerusi calonnya, Datuk Mohamad Alamin. - Foto NSTP

    Kemelut Kerajaan

    Berita Harian X