Ahad, 19 Januari 2020 | 11:09am

'Post mortem' rungkai punca kekalahan, kembalikan sokongan rakyat - ARMADA

MELAKA: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berharap ‘post mortem’ terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, semalam, dapat merungkai punca kekalahan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pada masa sama, jalan penyelesaian perlu dicari untuk mengembalikan sokongan pengundi muda terhadap Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, perbincangan bersama semua kepemimpinan PH pada ‘post mortem’ itu nanti diharap berupaya menghasilkan formula dan strategi berkesan bagi memastikan sokongan rakyat, terutama orang muda, kembali kepada PH.

“Saya rasa semua kepemimpinan akan hadir untuk membincangkan perkara ini secara menyeluruh.

“Panggilan ‘post mortem’ ini penting untuk kita bedah siasat dan memahami masalah serta apa yang perlu dilakukan bersama,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Terbuka Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Syed Saddiq (kanan) melancarkan Hari Terbuka BERSATU, di Dataran Pahlawan, Banda Hilir. - NSTP/Rasul Azli Samad

Syed Saddiq (tengah) menyertai senamrobik pada Hari Terbuka BERSATU, di Dataran Pahlawan, Banda Hilir. - NSTP/Rasul Azli Samad

Yang turut hadir, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU merangkap EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, serta EXCO Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Semalam, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis melalui kemenangan calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, dengan majoriti 2,029 undi.

Mohamad meraih 12,706 undi dan menewaskan calon WARISAN, Datuk Karim Bujang, 66, yang mendapat 10,677 undi dalam persaingan satu lawan satu pada PRK itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan berkata, kekalahan WARISAN itu dianggap berlaku kerana pengundi di kawasan Parlimen Kimanis belum merasai kebaikan pemerintahan baharu bawah PH.

Perdana Menteri berkata, PH akan melakukan ‘post mortem’ bagi menentukan sebab kekalahan dan mengetahui punca rakyat Sabah kecewa dengan pemerintahan ketika ini.

  • Lagi berita mengenai PRK Parlimen Kimanis
  • Syed Saddiq (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka BERSATU, di Dataran Pahlawan, Banda Hilir. - NSTP/Rasul Azli Samad
    Berita Harian X