Selasa, 21 Januari 2020 | 12:06am
Gambar fail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pendigitalan mahkamah, mudahkan proses keadilan

KUALA LUMPUR: Badan Kehakiman negara kini bukan sahaja dalam proses pendigitalan, tetapi juga memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan akses yang lebih mudah kepada keadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata kerajaan juga kini mengusahakan pelbagai inisiatif AI dalam proses pendigitalan mahkamah.

Ini termasuklah pengenalan inisiatif digital seperti ‘e-jamin’ dan ‘e-review’ yang bertujuan mengurangkan keperluan bagi peguam dan anak guam mereka, datang secara fizikal ke mahkamah, yang seterusnya menjimatkan masa dan kos semua pihak serta penggunaan sistem rakaman transkrip mahkamah secara digital dan ‘digitally secured evidence’.

“Sepanjang tahun 2020, kerajaan akan terus berusaha dan memperkenalkan pelbagai inisiatif AI yang lain, bagi mendigitalkan mahkamah dan memastikan akses yang mudah demi keadilan untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan.

“Profesion undang-undang perlu menerima pendigitalan, seperti mana Badan Kehakiman Sabah dan Sarawak yang telah menunjukkan teladan yang baik untuk diikuti pengamal undang-undang di seluruh Malaysia.

“Saya gembira untuk mengetahui sokongan daripada Badan Kehakiman terhadap usaha-usaha kerajaan dalam mendigitalkan mahkamah melalui penggunaan AI dan teknologi maklumat.

“Sokongan daripada hakim-hakim utama juga amat penting. Oleh itu saya ingin merakamkan penghargaan kerajaan atas sokongan Ketua Hakim Negara dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak untuk inisiatif-inisiatif ini,” katanya.

Inisiatif digital ini bukan sahaja memudahkan akses kepada keadilan, dengan mengurangkan keperluan untuk kehadiran fizikal di Mahkamah, tetapi juga memberi kesedaran yang baik untuk alam sekitar dalam mengurangkan penggunaan kertas dan pencemaran karbon akibat perjalanan ke Mahkamah. – BERNAMA

Berita Harian X