Selasa, 21 Januari 2020 | 4:51pm

Syor SPR distruktur semula kepada 3 entiti bebas

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) distruktur semula kepada tiga entiti bebas yang menjalankan fungsi berasingan berkaitan pilihan raya.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, berkata tiga entiti itu adalah SPR sebagai badan yang menguatkuasakan undang-undang pilihan raya, Elections Malaysia yang menjalankan urusan pilihan raya dan Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) yang melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Ab Rashid berkata, penstukturan itu akan membabitkan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan pembentukan SPR, dan mampu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.

“SPR masih wujud tapi dalam bentuk yang berbeza. SPR sebagai badan induk tidak lagi menjalankan pilihan raya, sebaliknya akan membuat dasar dan menguatkuasakan undang-undang pilihan raya.

“Kita juga akan menubuhkan badan yang menjalankan urusan pilihan raya yang buat sementara waktu ini dinamakan Elections Malaysia. Badan ini akan menyediakan data pemilih, daerah dan lokaliti tempat mengundi serta kemudahan mengundi.

“Ia akan menjalankan urusan pilihan raya sehingga keputusan pilihan raya diumumkan,” katanya dalam temuramah bersama BH di sini, semalam.

Bagi menjalankan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya, Ab Rashid memaklumkan, satu badan khas yang dinamakan Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) akan ditubuhkan.

Katanya, lantikan bagi ahli EBC juga hanya akan dibuat ketika wujud keperluan menjalankan urusan persempadanan semula, berbanding dilaksanakan SPR ketika ini.

“Sebagai contoh, sekarang persempadanan semula dilakukan lapan tahun sekali. Jadi, setiap lapan tahun, kerajaan menubuhkan badan ini (EBC).

“Ia badan bebas dan mesti mendapat kepercayaan sepenuhnya bagi melaksanakan tanggungjawab secara bebas dan adil,” katanya.

Ab Rashid berkata, beliau percaya, jika penstrukturan semula itu dilaksanakan, SPR sebagai badan pengendali pilihan raya di negara ini tidak lagi dituduh sebagai tidak adil dan hanya menyebelahi parti pemerintah.

Syor berkenaan adalah antara 49 syor reformasi pilihan raya yang dikemukakan ERC kepada kerajaan minggu lalu, bagi urusan penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia.

*Untuk berita lanjut, ikuti soal jawab bersama Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dalam BH hari ini.

Berita Harian X