X
Selasa, 21 Januari 2020 | 5:29pm
Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman ketika sidang media di Menara Usahawan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman ketika sidang media di Menara Usahawan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pembaharuan sistem pilihan raya ikut acuan tempatan

PUTRAJAYA: Pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini, jika dilaksanakan akan dibuat mengikut acuan yang sesuai dengan persekitaran tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, berkata walaupun mengambil contoh amalan baik dilaksanakan negara maju tetapi pihaknya tidak mengikut sepenuhnya sistem pilihan raya yang diamalkan negara berkenaan.

“Kita tidak akan ambil 100 peratus apa yang negara lain buat, sebaliknya kita akan ikut acuan sendiri. Tunggu saja cadangan yang akan kita kemukakan nanti.

“Tidak perlu susah hati. Kita sedang wujudkan keadaan di mana ada keadilan. Kita tidak mahu orang yang mendapat undi 40 peratus memerintah negara. Biarlah ia adil,” katanya dalam temuramah bersama BH, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pandangan segelintir pihak bahawa sistem ‘proportional representative’ (perwakilan berkadar) bagi pilihan raya tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana dibimbangi akan berlaku pembangunan yang tidak seimbang, selain negara masih belum mencapai kemajuan demokrasi seperti negara lain yang mengamalkan sistem itu.

Sebelum ini, Ab Rashid memaklumkan, ERC mencadangkan dua sistem pilihan raya dilaksanakan di negara ini iaitu mengekalkan sistem ‘first past the post’ bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perwakilan berkadar bagi kawasan Parlimen.

Katanya, sistem perwakilan berkadar sesuai bagi memilih parti untuk membentuk kerajaan, yang membolehkan parti yang paling banyak menerima undi akan membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Ab Rashid berpendapat, pelaksanaan dua sistem berkenaan sudah lama sesuai untuk dilaksanakan di negara ini namun ia tidak diusahakan.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan dua sistem pilihan raya itu memerlukan pertimbangan jangka masa panjang.

“Jika kita ketengahkan perkara ini, ia memerlukan banyak perubahan dan yang lebih penting, penerimaan umum. Ada sesetengah orang yang tidak boleh menerimanya, mereka mahukan calon secara langsung,” katanya.

Beliau berkata, ERC menjalankan kajian sistem pilihan raya di beberapa negara maju seperti New Zealand, Australia, Kanada, United Kingdom dan Jerman, selain akan ke beberapa negara Asia Tenggara selepas ini.

Untuk berita lanjut, ikuti soal jawab bersama Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, dalam akhir BH hari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X