Selasa, 21 Januari 2020 | 6:33pm
Gambar fail, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. - Foto Luqman Hakim Zubir

Dana RM3.9 juta hasil denda jualan unit kuota Bumiputera kepada bukan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menegaskan dana RM3.9 juta untuk tabung pusingan bagi membantu Bumiputera membeli rumah mampu milik di wilayah itu adalah hasil kutipan denda ke atas pemaju yang menjual unit kuota Bumiputera kepada bukan Bumiputera tanpa kebenaran.

Khalid berkata, dana tabung pusingan berkenaan juga adalah hasil lima peratus daripada bayaran harga unit yang diberi pelepasan untuk dijual kepada bukan Bumiputera.

“Berita yang melaporkan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) menyediakan RM3.9 juta adalah tidak benar... duit ini (RM3.9 juta) selama ini dikumpulkan dan dimasukkan dalam tabung pendapatan DBKL, tetapi saya mengatakan bahawa ia bukanlah ‘revenue’ (hasil), tetapi ia hasil daripada kuota Bumiputera yang tak diberikan kepada Bumiputera.

“Maka ia wajar digunakan untuk menentukan kuota Bumiputera itu dapat digunakan untuk Bumiputera,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bernilai RM45,000 kepada 300 penerima golongan fakir miskin sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Khamis lalu, Khalid mengumumkan penubuhan tabung pusingan bernilai RM3.9 juta bagi membantu pembeli Bumiputera yang menghadapi masalah pembayaran deposit melalui penyediaan pinjaman dengan tempoh bayaran semula selama 10 tahun tanpa faedah.

Mengenai projek pembangunan Kampung Baru, Khalid berkata pihaknya akan mencari penyelesaian terbaik untuk berunding dengan pemilik dan pewaris tanah sebelum pembangunan semula kampung tersebut diputuskan Jun ini.

“Kalau boleh kami nak Jun ini semua (pemilik dan pewaris tanah) dah bertemu secara ‘direct engagement’ (keterlibatan secara langsung) dengan pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru supaya apa sahaja yang mereka musykil, mereka boleh kemukakan dan tanya supaya kita boleh perjelaskan.

“Kita dapati bahawa bila mereka datang dan jumpa, hampir semua bersetuju bila dah diberikan penerangan. Masalah sekarang ini ialah orang tak setuju kerana maklumat tak lengkap dan tak betul,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X