Selasa, 21 Januari 2020 | 6:47pm

Koronavirus: 267,054 penumpang KLIA lepasi saringan

SEPANG: Seramai 267,054 penumpang termasuk kru penerbangan sudah disaring melalui kaunter imbasan terma di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata penumpang berkenaan daripada 2,494 penerbangan yang tiba di KLIA antara 15 hingga 20 Januari lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 61 penumpang perlu menjalani saringan kedua kerana mempunyai suhu badan tinggi dan mempunyai tanda-tanda tidak sihat.

“Setiap penumpang melalui kaunter itu, kita akan saring dan sekiranya ada petanda tidak sihat, mereka akan diasingkan, manakala pegawai bertugas akan membawa penumpang berkenaan ke bilik saringan kedua bagi pengesahan status kesihatan.

“Selepas disaring, sekiranya tidak mempunyai sebarang petanda koronavirus atau penyakit lain, kita akan melepaskan mereka. Sekiranya ada, mereka akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dikuarantin.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye meninjau kamera pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

“Bagi 61 penumpang yang disaring untuk kali kedua itu, ternyata mereka hanya mempunyai suhu badan tinggi dan mengalami demam biasa serta tidak mempunyai petanda mengalami virus koronavirus (2019 n-CoV),” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kaunter imbasan terma KLIA di sini, hari ini.

Dr Boon Chye berkata, kementeriannya membuat saringan ketat selepas menerima laporan mengenai penularan wabak baharu yang dikenali sebagai 2019 n-CoV.

“Kita mengadakan saringan ini sejak 31 Disember lalu selepas mendapat laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak itu boleh menular melalui manusia ke manusia.

“Disebabkan virus itu boleh dibawa oleh manusia, kita memperketatkan saringan setiap pelancong yang masuk ke negara ini kerana sekiranya tidak dikawal ia akan menjejaskan komuniti di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Boon Chye meminta rakyat Malaysia yang baru pulang dari China dan mengalami gejala seperti demam, selsema dan mempunyai tanda radang paru-paru dalam tempoh 14 hari untuk membuat pemeriksaan kesihatan di klinik berdekatan.

“Sekiranya ada jangkitan virus berkenaan kita akan kuarantin, tetapi setakat ini tiada kes dilaporkan,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa China melaporkan, wabak koronavirus yang bermula di Wuhan kini sudah mula merebak ke wilayah lain termasuk Beijing dan Shanghai.

Pihak berkuasa mengesahkan sejumlah 217 kes baru virus itu di Chinadengan empat kematian dilaporkan. Dari jumlah berkenaan sebanyak 198 kes dilaporkan berlaku di Wuhan.

Kakitangan Jabatan Kesihatan Malaysia memantau kamera pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kakitangan Jabatan Kesihatan Malaysia memantau kamera pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X