Selasa, 21 Januari 2020 | 9:08pm
Gambar fail, pakar perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood. - Foto Farizul Hafiz Awang

Syor ERC pastikan SPR benar-benar bebas

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) kepada kerajaan memerlukan masa untuk dilaksanakan, terutama hal berkaitan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, syor dikemukakan disokong pakar perlembagaan dan hal ehwal pilihan raya kerana wujud usaha untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar bebas dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Pakar perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata keseluruhan syor yang dikemukakan jawatankuasa itu disokong kerana jelas mewujudkan struktur baharu bagi memastikan pilihan raya bebas dan adil di negara ini.

Beliau melihat syor membabitkan penstrukturan semula SPR sebagai cadangan baik untuk memastikan tiada campur tangan kumpulan eksekutif dan Parlimen dalam suruhanjaya itu.

“Cadangan memecahkan SPR kepada tiga bahagian juga baik dan memerlukan pindaan Perlembagaan kerana membabitkan struktur dalam suruhan jaya itu, begitu juga hal berkaitan pembiayaan politik.

“Isu tadbir urus dan kebebasan membabitkan SPR penting dan perlu diutamakan. Saya percaya pembangkang akan memberi sokongan jika ada pindaan Perlembagaan kerana isu berkaitan pilihan raya ini menjaga kepentingan semua pihak,” katanya kepada BH, hari ini.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata syor penubuhan badan khusus bagi menentukan sempadan kawasan pilihan raya adalah baik.

Katanya, ia akan mewujudkan pengasingan kuasa dan pengkhususan dalam kerja persempadanan membabitkan kepakaran tertentu dalam bidang geoinformasi dan pemetaan .

“Pengasingan ini membolehkan SPR menumpukan kepada urusan perjalanan pilihan raya, selain meningkatkan akauntabiliti SPR dan parti politik dapat memantau manakala pemilih mengetahui pihak bertanggungjawab dalam urusan persempadanan.

“Dengan ini, pengaruh badan eksekutif dalam hal berkaitan persempadanan dapat dihapuskan kerana ketika ini persempadanan kawasan pilihan raya masih perlukan kelulusan Perdana Menteri.

“Dalam Perlembagaan dinyatakan semakan semula persempadanan dibuat setiap lima tahun tetapi berlaku proses tertentu penambahan kerusi yang memerlukan ia dijalankan berterusan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju syor penubuhan badan menjalankan urusan pilihan raya dinamakan Elections Malaysia kerana tugas menjalankan pilihan raya termasuk mendaftar pemilih dan menentukan tempat mengundi serta proses pilihan raya sudah dilaksanakan SPR.

“SPR tidak perlu menjadi badan induk kerana berperanan menguruskan pilihan raya manakala pengasingan badan persempadanan tiada kaitan langsung dengan SPR.

“Jika SPR jadi badan induk, maka Suruhanjaya Persempadanan Kawasan Pilihan Raya akan tertakluk kepada kuasa suruhanjaya itu,” katanya.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, semalam berkata, kerajaan perlu mengambil berat cadangan yang dikemukakan ERC dan melaksanakan perkara yang boleh dibuat tanpa membabitkan pindaan undang-undang.

Berita Harian X