Khamis, 23 Januari 2020 | 4:59pm
Guan Eng berpendapat, kerajaan negeri berkenaan perlu memberi keutamaan membayar gaji kakitangan dan hutang kerajaan negeri terlebih dahulu. - Foto BERNAMA

Guan Eng persoal kenapa Kelantan tak ikut teladan Nik Aziz

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempersoal kewajaran pemberian khas sehingga RM50,000 seorang kepada 14 penerima dalam kalangan pimpinan dan pegawai kanan Kerajaan Kelantan, termasuk EXCO dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Guan Eng berpendapat, kerajaan negeri berkenaan perlu memberi keutamaan membayar gaji kakitangan dan hutang kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Menteri pun tak dapat Vellfire dan tetap kekal dengan Proton Perdana (kenderaan rasmi), jangan cakap Mercedes yang Kelantan beli 14 unit. Wang RM50,000 bonus (bayaran khas) kepada EXCO Kelantan ini, semuanya datang daripada mana?

“Gaji kakitangan kerajaan negeri pun mereka tak mampu bayar hingga kena pinjam daripada Kerajaan Persekutuan. Adakah ini kelaziman Kerajaan Kelantan sejak dahulu?

“Seingat saya, ketika Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat mentadbir Kelantan dahulu, beliau hanya ambil separuh daripada gaji dan bakinya dipulangkan kepada kerajaan negeri.

“Mengapa ini tidak diteladani oleh pentadbiran Kelantan sekarang?” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP kepada BH menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan pemberian khas bernilai RM50,000 seorang kepada 14 penerima berikutan pencapaian pendapatan kerajaan negeri.

Beliau dilapor berkata, pemberian khas itu tiada kaitan dengan peruntukan khas bernilai RM400 juta oleh Kerajaan Persekutuan, selain menafikan ia adalah bayaran bonus kerana penerima sebenarnya tidak layak untuk menerimanya.

Berita Harian X