Sabtu, 25 Januari 2020 | 11:55am
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) pada sidang media mengenai wabak coronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), Putrajaya, hari ini. Turut sama Pengarah Kawalan Penyakit Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Norhayati Rusli. - Foto BERNAMA

Tiga pelancong China positif coronovirus 2019-nCOV di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan, tiga kes jangkitan coronavirus 2019-nCoV di negara ini, membabitkan pelancong warga China yang juga ahli keluarga kes positif yang dikesan di Singapura.

Ketiga-tiganya yang kini dalam kuarantin dan rawatan di Hospital Sungai Buloh terdiri daripada isteri dan dua cucu kepada lelaki berusia 66 tahun, yang menjadi kes pertama di negara jiran itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ujian pengesanan dan pengesahan terhadap kesemua mereka diperoleh daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam tadi.

Katanya, keluarga berkenaan dilaporkan menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari dan dua daripada mereka iaitu lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya didapati mempunyai gejala dan dimasukkan ke hospital di Singapura pada 22 Januari, sebelum disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS).

“Sembilan orang menaiki pesawat bersama lelaki berumur 66 tahun itu, iaitu isterinya, anak lelaki, menantu perempuan, dua orang cucu dan empat sekeluarga (kenalan rapat) yang terdiri dari sepasang suami isteri dan dua anak mereka.

“KKM kemudian menerima makluman mengenai keputusan ujian positif dari KKS, yang juga memperincikan maklumat mengenai lapan ahli keluarga dan kenalan rapat yang berada di Malaysia.

“Melalui perkongsian maklumat itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor bertindak segera mengesan lapan individu berkenaan dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka,” katanya dalam sidang media di sini.

Dr Dzulkefly berkata, saringan awal yang dilakukan KKM mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai jangkitan tetapi sampel klinikal tetap diambil untuk ujian pengesanan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh.

“Sepanjang tempoh itu, mereka dikuarantin mengikut Perintah Pemantauan dan Pengasingan oleh JKN Johor, sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

“Mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil.

“Manakala lain-lain yang dikesan adalah negatif bagi 2019-nCoV,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melihat carta kawasan yang terbabit dengan jangkitan gejala Coronavirus selepas sidang media di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Berita Harian X