Sabtu, 25 Januari 2020 | 7:36pm
Tinjauan pelancong yang memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memakai topeng penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan wabak coronavirus. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

TERKINI: Hanya tinggal 28 warga Malaysia di Wuhan

KUALA LUMPUR: Seramai 28 rakyat Malaysia terdiri daripada mahasiswa dan golongan profesional, masih berada di Wuhan dan kini menjalani perintah berkurung susulan penularan coronavirus 2019-nCOV di bandar raya itu.

Ketika ini, kesemua mereka juga masih bebas daripada jangkitan wabak berkenaan.

Duta Malaysia ke China, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin, ketika mengesahkan situasi itu, berkata 87 lagi rakyat Malaysia yang didaftarkan menetap di bandar raya Wuhan dan sekitar wilayah Hubei, pula meninggalkan kediaman masing-masing di negara itu untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedang giat memantau perkembangan semasa rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan dan kota berdekatan, selain menyediakan talian khusus menghubungkan enam pejabat konsulat iaitu Shanghai, Guangzhou, Kunming, Nanning, Xi’an dan Hong Kong.

“Cabaran pertama ialah untuk mendapatkan maklumat. Justeru, kita uar-uarkan nombor telefon enam konsulat di seluruh China supaya rakyat Malaysia di sini, boleh menghubungi dan melaporkan perkembangan semasa mereka.

“Selain itu, kedutaan giat memantau keadaan rakyat kita di Wuhan dan wilayah lain di seluruh China. Malah, saya sendiri ada bercakap serta berhubung menerusi emel dengan mereka bagi mengetahui keadaan sebenar.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya masih dalam keadaan terkawal dan orang kita tidak panik dengan kadar penularan coronavirus,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Kerajaan China semalam melaksanakan perintah berkurung membabitkan jutaan penduduk meliputi lapan bandar raya yang dikesan dilanda wabak coronavirus yang setakat ini sehingga mengorbankan 41 orang dan menjangkiti lebih 1,287 orang ketika pihak berkuasa seluruh dunia berusaha mencegah virus berkenaan.

Raja Nurishwan berkata, rakyat Malaysia yang berada di China dinasihatkan sentiasa mengamalkan langkah pencegahan berkaitan seperti memakai penutup mulut dan membawa bahan pencuci tangan, terutama jika terpaksa keluar dari kediaman bagi melakukan sebarang urusan.

“Menerusi pemantauan setakat ini, ada sembilan mahasiswa kita di Wuhan daripada lebih 100 warga Malaysia masih berada di bandar raya, justeru mereka dinasihati supaya elakkan daripada menyentuh sebarang haiwan, sama ada hidup atau mati.

“Selain itu, elakkan memakan daging yang tidak masak. Sekiranya mendapati wujud petanda penyakit, rakyat Malaysia perlu mendapatkan bantuan perubatan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menyarankan orang ramai yang ingin melawat China untuk menangguhkan perjalanan mereka, kecuali bagi urusan penting dan tidak dapat dielakkan.

Meskipun situasi wabak coronavirus seakan semakin meruncing dan mencetuskan kebimbangan, beliau menjelaskan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika ini tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan serta perdagangan dengan China.

“Kementerian akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini berkaitan wabak 2019-nCoV dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita berkaitan:

• 120 rakyat kita di Wuhan berkurung, masih bebas jangkitan coronavirus - https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/649922/120-rakyat-kit...

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X