Ahad, 26 Januari 2020 | 6:34pm
Dr Wan Azizah (tengah) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara Wabak Coronavirus di Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Coronavirus: Tiada keperluan hantar pulang rakyat China di Malaysia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan tiada keperluan untuk menghantar pulang pelancong dari Wuhan, China ekoran negara itu sudah mengeluarkan arahan sekatan penerbangan dua hala bagi destinasi yang dilanda wabak coronavirus baharu.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia sudah menghentikan penerbangan bagi destinasi Wuhan, susulan larangan dikeluarkan Kerajaan China, sejak Khamis lalu.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menghentikan pengecualian visa yang diperuntuk kepada pelancong dari China.

"Pihak China sudah mengambil tindakan melarang penerbangan keluar masuk dari Wuhan. Malah, syarikat penerbangan Air Asia juga sudah menghentikan penerbangan dari Wuhan selepas larangan (berkurung) itu.

"Kerajaan kini mengambil kira pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu belum sampai tahap untuk menyekat kedatangan pelancong dari China," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Coronavirus (2019 nCoV) di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah dan Dr Dzulkefly ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara Wabak Coronavirus. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta timbalannya, Senator Datuk Marzuki Yahya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menasihati orang ramai supaya menangguh perjalanan ke China, khususnya ke 13 wilayah berisiko dijangkiti wabak coronavirus atau 2019-nCoV.

Selain itu, beliau berkata, Wisma Putra juga memantau 49 warga Malaysia di Wuhan, pusat penyebaran virus itu ke seluruh dunia.

"Penularan kluster penyakit berkenaan masih terkawal di negara ini dan sehingga petang tadi, empat kes positif di Malaysia, iaitu tiada kes baru.

"Saringan kesihatan terperinci juga dilakukan di pintu masuk negara dan Malaysia ada keupayaan untuk menangani coronavirus. Orang ramai juga perlu mengelakkan diri daripada menularkan berita palsu dan cuba menakut-nakutkan masyarakat,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X