Isnin, 27 Januari 2020 | 6:17pm

2 kanak-kanak warga China masih dikuarantin

BUKIT KAYU HITAM: Sampel yang diambil dari dua kanak-kanak perempuan pelancong dari China yang disyaki mempunyai simptom coronavirus baharu (2019-nCoV) hanya diketahui dalam tempoh 24 jam dari sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar dan Agama negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata setakat ini kedua-duanya yang berusia dua dan empat tahun itu masih dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi.

Beliau berkata, setakat ini mereka masih dipantau dan diberi rawatan lanjut sehingga keputusan diketahui nanti.

“Kedua-dua kanak-kanak perempuan itu sebelum ini mempunyai simptom demam, batuk dan selsema, namun kita tidak boleh mengesahkan mereka positif virus berkenaan kerana ia bergantung pada keputusan sampel yang diambil itu.

“Sampel ujian diambil membabitkan kahak dan di bahagian kerongkong dua kanak-kanak berkenaan,” katanya selepas meninjau pengimbas suhu haba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Malaysia (ICQS) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad.

Media semalam melaporkan, dua kanak-kanak itu bercuti di Langkawi sejak Jumaat lalu bersama ibu bapanya dan dimasukkan ke wad HSM jam 1 tengah hari semalam.

Setakat ini, dua kanak-kanak perempuan yang berasal dari Guang Dong, China itu hanya disyaki dijangkiti virus coronavirus dan pihak hospital sedang membuat pemeriksaan lanjut terhadap simptom yang ada pada mereka.

Bagaimanapun, kedua ibu bapa mereka tidak menunjukkan sebarang tanda berkaitan penyakit itu.

Dr Ismail berkata, setakat ini 16,000 pelancong memasuki pintu masuk negara ini melalui ICQS Bukit Kayu Hitam sejak 1 Januari lalu dan menjalani mesin pengimbas suhu di sini.

Namun, katanya daripada jumlah itu, hanya 14 daripadanya dikesan warga China namun kesemua mereka negatif dan tidak mempunyai simptom demam, batuk dan selsema.

“Tiada pesakit yang direkodkan mempunyai simpton virus itu dikesan di sini dan sebuah ambulans diletakkan di sini untuk persediaan sekiranya ada pesakit yang perlu dirujuk ke hospital.

“Pelancong yang masuk melalui Kota Putra di Durian Burung juga diperiksa secara manual untuk memastikan tidak mempunyai masalah kesihatan atau virus berkenaan,” katanya.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X