Isnin, 27 Januari 2020 | 10:19pm
Tiga wanita memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga ketika tinjauan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu hari ini. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menafikan terdapat pesakit yang dijangkiti coronavirus menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). - foto BERNAMA
Tiga wanita memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga ketika tinjauan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu hari ini. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menafikan terdapat pesakit yang dijangkiti coronavirus menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). - foto BERNAMA

Kanak-kanak China di HSNZ negatif coronavirus

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan warga China berusia lima tahun menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu hari ini.

Bagaimanapun, pengarahnya Dr Azimi Yunus, berkata hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu tidak tidak memenuhi kriteria Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) Coronavirus Baharu (2019-nCoV).

“Pihak hospital memberi rawatan biasa kepada kanak-kanak terbabit yang dimasukkan ke wad jam 6.15 petang tadi,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu tular di media sosial laporan polis mengenai kanak-kanak itu bersama ibu bapanya ke Hospital Kemaman (HK) jam 12.34 tengah hari untuk rawatan tetapi dikatakan melarikan diri dari hospital.

Kejadian itu sebenarnya berpunca daripada masalah komunikasi bahasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata ibu bapa kanak-kanak itu yang berkerja di projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Kemaman tidak faham penjelasan doktor.

Mereka kemudian membawa kanak-kanak itu pulang, bukannya melarikan diri seperti diviralkan melalui lamam sosial.

Katanya, pihak HK yang bimbang akan keadaan kanak-kanak seperti ada simptom atau disyaki Coronavirus membuat laporan polis di ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman tengah hari semalam.

"Laporan itu dibuat bertujuan meminta polis mengesan ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

"Polis mengambil tindakan dan bertemu dengan ibu bapa kanak-kanak itu dan membawanya ke HSNZ dengan ambulans," katanya yang mengesahkan ada dihubungi polis meminta bantuannya memujuk ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai menasihatkan rakyat di negeri ini agar tidak panik dan tidak mudah mempercayai khabar angin yang tidak sahih.

"Jika anak-anak demam, selesema, batuk, sila bawa ke hospital atau klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor bertauliah," katanya.

Berita Harian X