Selasa, 28 Januari 2020 | 11:53pm
Pembinaan terowong Kuantan sepanjang 2.8 Kilometer oleh Syarikat China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) untuk laluan East Coast Rail Line (ECRL). - Gambar fail NSTP/Farizul Hafiz Awang
Pembinaan terowong Kuantan sepanjang 2.8 Kilometer oleh Syarikat China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) untuk laluan East Coast Rail Line (ECRL). - Gambar fail NSTP/Farizul Hafiz Awang

Pekerja ECRL dinasihat tak kembali hingga keadaan terkawal

KUALA LUMPUR: Pekerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang pulang ke kawasan dijangkiti wabak coronavirus di China sempena cuti Tahun Baru Cina, baru-baru ini, dinasihatkan supaya tidak kembali bekerja di negara ini hingga keadaan kembali terkawal.

Pemilik projek dan aset ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata ini adalah antara langkah proaktif diambil pihaknya selari Pelan Pengurusan Kecemasan bagi kawalan penyakit berjangkit termasuk coronavirus dan influenza A yang telah disiapsiagakan kontraktor utama, China Communications Construction ECRL Sdn Bhd (CCC-ECRL) sebelum cuti perayaan itu bermula lagi.

Langkah-langkah lain termasuk menjalankan pemeriksaan suhu badan dan kawalan kesihatan terhadap semua pekerja di setiap tapak projek berkenaan, menurut MRL dalam satu kenyataan.

“Semua tindakan yang disarankan di dalam pelan itu sudah tersedia ada untuk mengekang penularan wabak coronavirus,” kata kenyataan itu.

MRL dan CCC-ECRL juga menyangkal laporan media serta berita yang tersebar melalui laman sosial mengenai kanak-kanak berusia lima tahun dari China yang mana kedua ibu bapanya bekerja di kem pengurusan projek ECRL di Kemaman, Terengganu telah dikhabarkan mendapatkan rawatan coronavirus.

Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu sudah mengesahkan bahawa kanak-kanak itu cuma menjalani rawatan untuk demam biasa serta sakit tekak. – BERNAMA

Berita Harian X