Rabu, 29 Januari 2020 | 3:20pm
HOSPITAL Sultanah Nur Zahirah. NSTP/Rozainah Zakaria
HOSPITAL Sultanah Nur Zahirah. NSTP/Rozainah Zakaria

Kanak-kanak warga China dibenarkan keluar dari HSNZ

KUALA TERENGGANU: Kanak-kanak warga China berusia lima tahun yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kerana demam dan sakit tekak dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus, berkata kanak-kanak itu didapati tidak mengalami jangkitan coronavirus, sebaliknya hanya mengalami demam biasa dan kini sudah sihat sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

Selasa lalu, seorang kanak-kanak warga China disyaki mengalami jangkitan coronavirus ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman selepas mengalami demam dan sakit tekak.

Bagaimanapun, ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tidak memahami penjelasan doktor ketika menerima rawatan, kerana masalah komunikasi bertindak membawa pulang semula anak mereka ke rumah di penempatan ECRL, Kemaman.

Tindakan ibu bapa terbabit menimbulkan kebimbangan pihak hospital sebelum mendapatkan bantuan polis mengesan dan bertemu ibu bapa kanak-kanak terbabit sebelum dia dirujuk ke HSNZ.

Hasil pemeriksaan, HSNZ mengesahkan kanak-kanak terbabit tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit disyaki PUI (pesakit di bawah siasatan) coronavirus, sebaliknya dirawat sebagai pesakit demam biasa.

Bagaimanapun, kes berkenaan menjadi kecoh hingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat negeri ini apabila maklumat salah mengenai kejadian itu disebarkan sebuah akuan media sosial.

Berita Harian X