X
Jumaat, 31 Januari 2020 | 11:32am
Selaras langkah rasionalisasi kerajaan lancarkan aspek urus tadbir koperasi.
Selaras langkah rasionalisasi kerajaan lancarkan aspek urus tadbir koperasi.

SKM, IKM digabung jadi agensi tunggal

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) akan digabungkan bagi membentuk agensi tunggal, selaras langkah rasionalisasi kerajaan untuk melancarkan aspek urus tadbir.

Penggabungan dua entiti kerajaan itu yang dijangka diselesaikan tahun ini antara lain akan menyaksikan kewujudan struktur pengurusan dan penggubalan akta baharu, demi meningkatkan keberkesanan mewujudkan lebih banyak koperasi berkualiti.

Pindaan Akta Koperasi 1993 (Akta 502), yang dijangka dibawa ke Dewan Rakyat awal tahun ini dan penggabungan itu akan menjadikan SKM lebih cekap, selain menghapuskan hal yang menjadi kekangan koperasi melakukan aktiviti keusahawanan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, memberitahu BH, langkah itu adalah arahan baharu kerajaan, justeru pelbagai perkara harus diperhalusi.

“Sekarang ini ia (pelan penggabungan IKM dan SKM) adalah dalam fasa ‘work in progress’ (pelaksanaan). Memang banyak aspek yang kita nak kena tengok seperti soal undang-undang, kerangka pengurusan, bidang kuasa dan hala tuju,” katanya yang menjelaskan tidak ada tempoh tertentu ditetapkan bagi menyelesaikannya.

Penggabungan IKM dan SKM dijangka diselesaikan tahun ini.
Penggabungan IKM dan SKM dijangka diselesaikan tahun ini.

Fokus kepada penggabungan itu bagi membentuk sebuah lembaga yang diterajui pengerusi dan ketua pegawai eksekutif itu rentetan langkah meminda Akta 502 yang sebelum ini dikatakan bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal tahun ini.

Ia juga diharap mengurangkan kerenah birokrasi untuk mampu meningkatkan kadar sumbangan sektor berkenaan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi ketiga negara.

Perangkaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, setakat 2018 menyaksikan sebanyak 1,427 koperasi diwujudkan di seluruh negara, merangkumi 6.6 juta ahli dengan perolehan menjangkau RM40.3 bilion dan aset bernilai RM142.9 bilion.

Ditanya sama ada pelan penggabungan itu adalah sebahagian daripada usaha penjimatan kerajaan, Mohd Redzuan berkata fokus utama adalah ke arah ‘melicinkan’ proses urus tadbir, demi memacu sektor koperasi di Malaysia yang bakal menjangkau usia 100 tahun, menjelang 21 Julai 2022.

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau mengakui akan wujud kesan penjimatan dan penggunaan optimum tenaga kerja.

Bagaimanapun, impak lebih utama ialah untuk mengurangkan kerenah birokrasi supaya mana-mana pihak yang berhasrat menubuhkan koperasi pada masa depan hanya perlu berurusan dengan satu agensi.

Berita Harian X