Sabtu, 1 Februari 2020 | 7:32am
Pengguna jalan raya menikmati kadar tol baharu yang diturunkan sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya milik PLUS. - NSTP/Aizuddin Saad
Pengguna jalan raya menikmati kadar tol baharu yang diturunkan sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya milik PLUS. - NSTP/Aizuddin Saad

Diskaun 18 peratus: PLUS tidak kompromi standard, keselamatan

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) memberi jaminan kualiti dan standard di lapan konsesi lebuh raya kendaliannya tidak akan terjejas, susulan pemberian diskaun 18 peratus, berkuat kuasa, tengah malam tadi.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail, menjelaskan mesyuarat lembaga pengarah bertekad menyuarakan komitmen sedemikian, meskipun menyedari wujud kekangan kos yang bakal dihadapi pengendali lebuh raya berkenaan pada masa akan datang.

Katanya, perincian mekanisme terbaik bagi mengimbangi pengurangan pendapatan PLUS berikutan diskaun 18 peratus dan kos penyelenggaraan akan diputuskan kemudian.

“Kami memang menggunakan banyak pendekatan baharu, dari segi standard kita tidak kompromi, tapi cara kita optimumkan kos, insya-Allah kita masih dapat menampung apa yang diperlukan.

“Saya beri komitmen kepada pengguna, standard kita masih tetap teguh, tidak akan terjejas.

“Perincian mengenai mekanisme bagi mengimbangi pemberian diskaun dan keperluan menampung kos penyelenggaraan itu masih dalam perbincangan dengan kerajaan,” katanya pada pemberita selepas pelancaran Era Baharu Lebuhraya PLUS, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Datuk Seri Shahril Ridza Ridzuan dan Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (tiga dari kanan) bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Badrul Mohamad; Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif (dua dari kanan); Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail (dua dari kiri); Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi (kanan) dan Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Abdullah Hashim (kiri) selepas Majlis Pelancaran Simbolik Penurunan Harga Tol 18 peratus di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

Ditanya sama ada wujud pengurangan kakitangan demi mengurangkan kos operasi, Azman menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai pertimbangan sedemikian.

Beliau sebaliknya berkata PLUS mempunyai pendekatan tersendiri untuk mengoptimumkan kos operasi, selain tidak menjejaskan aspek kepuasan pengguna lebuh raya.

“Betul kos penyelenggaraan adalah sekitar RM1 bilion setahun, tetapi kakitangan kita tidak akan terjejas (berikutan pemberian diskaun ini),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Omar memaklumkan kerajaan setakat ini belum mempunyai keputusan muktamad berhubung usaha pengambilalihan kepentingan dalam empat lebuh raya utama, membabitkan nilai RM6.2 bilion yang majoriti pegangannya dimiliki Gamuda Bhd.

Sebarang butiran lanjut, katanya, akan diumumkan kerajaan selepas keputusan diperoleh dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Itu akan dimaklumkan kemudian, setakat ini saya tidak boleh beri perincian,” katanya.

Berita Harian X