Rabu, 12 Februari 2020 | 6:22pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama peserta persidangan selepas menyampaikan ucaptama 'Keamanan Kewujudan Bersama Dalam Menguatkan Rantau ASEAN: Cabaran Menghadapi Masa Hadapan' pada Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) hari ini. Foto BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama peserta persidangan selepas menyampaikan ucaptama 'Keamanan Kewujudan Bersama Dalam Menguatkan Rantau ASEAN: Cabaran Menghadapi Masa Hadapan' pada Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) hari ini. Foto BERNAMA

Hujah Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dibawa ke Parlimen

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan membawa hujahan Ketua Hakim Negara serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak berhubung persoalan Perlembagaan yang dikemukakannya mengenai kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (MKN) pada persidangan Parlimen akan datang.

Anwar yang juga Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat berkata, ini berikutan hujahan kedua-dua hakim berkenaan disifatkan sangat kuat berhubung persoalan yang persoalan itu.

“Saya dan beberapa teman akan membawa hujahan Ketua Hakim Negara (Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat) serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak (Tan Sri David Wong Dak Wah) dalam Parlimen supaya hal ini (mengetepikan kuasa raja dalam pengisytiharan darurat) dapat diperjelaskan.

“Saya melihat pemindahan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat kepada Perdana Menteri (PM) seperti tiada perimbangan, sedangkan Perlembagaan Persekutuan dirangka supaya kuasa PM dalam soal itu diimbangi oleh kuasa Seri Paduka,” katanya yang juga Presiden PKR.

Beliau berkata demikian selepas memberi ucaptama pada Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 anjuran Kerajaan Negeri Selangor dan Institut Darul Ehsan (IDE).

Semalam, Mahkamah Persekutuan enggan menjawab persoalan Perlembagaan mengenai kesahan Akta MKN yang dikemuka Anwar dan memutuskan itu bukan kes yang sepatutnya dijawab mahkamah itu kerana soalan yang dirujuk adalah abstrak dan akademik.

Mahkamah juga memutuskan bahawa kes berkenaan dipindahkan semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan.

Ini selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 menolak permohonan Anwar, dengan tidak memberi sebarang keputusan berhubung saman pemula untuk mengisytiharkan Akta MKN 2016 sebagai melanggar Perlembagaan.

Sementara itu, Anwar turut melahirkan rasa kesal dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut kerana memiliki dua kewarganegaraan, iaitu Malaysia dan Australia.

“Saya kesal dengan keputusan itu. Bagaimanapun kita kena terima dan Dr Ting juga sudah memilih kewarganegaraan Malaysia,” katanya.

Berita Harian X