Khamis, 13 Februari 2020 | 3:39pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi. - NSTP
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi. - NSTP

Kementerian akan bantu pemain industri pelancongan

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan membantu pemain industri pelancongan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi, khususnya selepas penularan coronavirus.

Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi dalam satu sidang media, berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pemain industri berkaitan pelancongan mengenai permasalahan mereka.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan pemain industri pelancongan dalam negara dan mereka memberitahu semua masalah dihadapi kepada pihak kementerian.

“Antara paling terkesan adalah penginapan seperti perhotelan yang menurun begitu banyak sekali iaitu 10 hingga 30 peratus.

“Selain itu, terdapat banyak pembatalan untuk membawa masuk pelancong ke dalam negara ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program PATA Adventure Travel Conference, di sini, pagi tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Dr Noor Zairi Hamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Pacific Asia Travel Association ( PATA ), Dr Mario Hardy.

Mohammadin berkata, terdapat banyak pembatalan pelancong dibawa masuk ke dalam negara ini.

“Setakat ini terdapat lebih kurang 5000 kumpulan sudah membatalkan pelancong yang ingin masuk ke dalam Malaysia.

“Oleh itu, kita membuat keputusan untuk membawa perkara inilebih mendalam lagi supaya kementerian dapat membantu mereka yang menghadapi masalah sehingga pendapatan berkurangan.

“Kita juga cuba akan membantu mereka (pemain industri ) yang mempunyai pinjaman sekiranya dapat dipermudahkan pihak bank untuk memberi kelonggaran pembayaran dalam tempoh tiga atau empat bulan dan sebagainya mengikut jangka masa masalah kita hadapi sekarang.

“Kementerian sudah mengambil kira semuanya ini dan kita akan meminta maklumat selanjutnya yang berhubung-kait dengan masalah yang ada sekarang ini untuk kita bantu dan selesaikan,” katanya.

Mohammadin berkata, pihaknya mengambil berat dan prihatin akan masalah yang dihadapi pemain industri.

“Kita prihatin dan memandang serius permasalahan yang dihadapi pemain industri yang kehilangan pendapatan dan keuntungan dalam sektor pelancongan,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 istimewa kerana lebih memfokuskan eko-pelancongan, seni dan budaya.

“Tahun 2020 adalah istimewa untuk Malaysia keran kita menyambut kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 ( VM2020 ). Kempen ini memfokuskan eko pelancongan, seni dan budaya selaras dengan Pelan Eko Pelancongan Kebangsaan 2016-2025 dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

“Kita berharap agar kita manfaatkan PATA Adventure Travel Mart 2020 untuk mengetengahkan destinasi aktiviti dan kembara pelancongan luar sebagai destinasi pilihan di dunia.

“Buat masa ini, industri pelancongan di Malaysia dan juga serata dunia teruji dengan penularan wabak coronavirus. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk saling memmbantu dan memastikan kita mendapat maklumat tepat dan langkah berjaga-jaga yang betul,” katanya.

Berita Harian X