Jumaat, 14 Februari 2020 | 11:32pm
Semalam, Marzuki sempat meluangkan masa melawat Tajuddin di Hospital Bukit Mertajam yang dianggap sebagai sahabat baik. - FB Marzuki Yahya

Pegawai media Timbalan Menteri Luar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pegawai media kepada Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, Tajuddin Mohd Kassim meninggal dunia hari ini akibat pendarahan otak.

Marzuki dalam catatan di akaun Facebooknya mengesahkan Tajuddin menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 7.06 malam di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Sahabat saya, saudara Tajuddin Mohamed Kassim telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.06 malam tadi di Hospital Bukit Mertajam.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT. Salam takziah buat keluarga arwah,” katanya yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Difahamkan, Tajuddin meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia 15 tahun.

Allahyarham juga adalah bekas wartawan New Straits Times dan The Sun.

Semalam, Marzuki sempat meluangkan masa melawat Tajuddin di Hospital Bukit Mertajam yang dianggap sebagai sahabat baik.

Dalam satu catatan di Facebooknya semalam, menurut Marzuki, Tajuddin dikejarkan ke hospital selepas jatuh ketika bersarapan pagi di restoran mamak.

“Doktor mengesahkan bahawa pembuluh darah di kepala beliau pecah dan memenuhi kepala,” katanya.

Berita Harian X