Isnin, 17 Februari 2020 | 12:00pm
Keratan akhbar BH Ahad semalam.
Keratan akhbar BH Ahad semalam.

Hutan Simpan Sungai Pulai jadi padang golf

JOHOR BAHRU: Ratusan nelayan di kawasan Gelang Patah, Pendas sehingga ke Skudai, mendakwa hidup mereka makin tersepit berikutan hilang punca pendapatan apabila lubuk rezeki mereka sekitar hutan simpan bakau Sungai Pulai, kini lenyap bertukar menjadi sebuah padang golf dan resort antarabangsa.

Nelayan di situ mendakwa suara mereka semakin tidak didengari walaupun bantahan pernah dibuat hampir 10 tahun lalu sebelum padang golf dan resort antarabangsa itu dikatakan dibina di kawasan hutan simpan bakau di kuala Sungai Pulai, yang ditebang dan dimusnahkan atas nama pembangunan komersial.

Nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Rais, 53, mendakwa mereka kini tidak lagi dibenarkan mendekati mahu pun memasuki baki kawasan hutan bakau berkenaan yang kini didakwa menjadi hartanah persendirian.

“Dahulu selama puluhan tahun kawasan hutan simpan bakau Sungai Pulai menjadi lubuk rezeki hampir 300 nelayan Gelang Patah, Pendas sehingga ke Skudai, namun kini sebahagiannya ditebang dan dibina hotel dan padang golf.

“Di situ lubuk nelayan menangkap ikan sembilang dan ketam bangkang selain mencari siput sedut selama puluhan tahun.

“Namun sejak pembinaan padang golf dan resort itu bermula hampir 10 tahun lalu, ia dijadikan kawasan larangan kepada semua nelayan yang tidak dibenarkan lagi mencari rezeki di situ.

“Kini kawasan nelayan tradisional itu bertukar menjadi kawasan untuk orang kaya dan kami anak tempatan di sini terus terpinggir,” katanya kepada BH.

Kawasan Sungai Pulai adalah sebuah daripada empat kawasan Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa (RAMSAR) yang ada di Semenanjung, namun aktiviti pembangunan tanah sekitarnya kini mengancam flora dan fauna kawasan itu.

BH dalam laporan muka depannya semalam, melaporkan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Ahmad Ismail, dilaporkan berkata, ancaman dihadapi tapak RAMSAR ketika ini, jika tidak dikawal atau ditangani dikhuatiri menjejaskan sumber biologi tapak berkenaan seperti spesies ikan, tumbuhan hutan, hidupan liar, burung hijrah dan burung pemangsa.

Tahun lalu, media melaporkan seluas 800 hektar Hutan Simpan Sungai Pulai yang kaya hutan bakau dikeluarkan daripada status pewartaan hutan simpan dengan gazetnya dilaporkan dilupus bagi memberi laluan pembinaan padang golf bertaraf antarabangsa.

Sungai Pulai antara tapak yang diklasifikasikan sebagai tapak RAMSAR pada 2003. Kawasan paya bakau di situ adalah seluas 8,334 hektar, hampir dua kali ganda Putrajaya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan kawasan Iskandar Puteri yang mahu dikenali Mamat, 58, berkata ramai rakyat negeri ini menyangka padang golf dan resort antarabangsa itu dibina di atas laut yang ditambak, namun hakikatnya ia dibina atas kawasan Hutan Simpan Sungai Pulai yang ditebang bakau yang sejak wujud ratusan tahun lalu.

“Dahulu, tiada siapa pedulikan suara kami nelayan, kononnya kami membantah pembangunan yang mahu dibuat secara membuta tuli.

“Lihatlah sekarang, siapa yang dapat manfaat daripada pembinaan padang golf dan resort antarabangsa itu? Nasib nelayan di sini terus seperti kais pagi, makan pagi dan semakin melarat, ” katanya.

Tasik Bera di Pahang yang kini terjejas akibat aktiviti pengambilan hasil hutan dan tangkapan ikan secara berlebihan. - NSTP/Aizuddin Saad
Tasik Bera di Pahang yang kini terjejas akibat aktiviti pengambilan hasil hutan dan tangkapan ikan secara berlebihan. - NSTP/Aizuddin Saad

Orang Asli akui hasil Tasek Bera berkurangan

BERA: Masyarakat Orang Asli sekitar Tasek Bera di sini, mengakui hasil hutan dan hidupan yang menjadi rezeki mereka di Tapak RAMSAR itu, semakin berkurangan akibat aktiviti pengambilan hasil hutan dan tangkapan ikan secara berlebihan.

Antara khazanah memberi pulangan kepada Orang Asli termasuk ikan kelisa, baung dan tapah, manakala hasil hutan seperti batu kelulut dan madu lebah serta akar kayu seperti kacip fatimah dan tongkat ali.

Di sekitar kawasan itu, ada kira-kira 3,000 penduduk Orang Asli yang mendiami 14 kampung, yang 15 peratus daripadanya bergantung hasil flora dan fauna tanah lembab itu untuk kelangsungan hidup.

Pengerusi Persatuan Bakti Semelai Malaysia, Romani Mohamad, berkata selebihnya tertumpu kepada getah dan kebun sawit, sama ada mengusahakan kebun atau mengambil upah sebagai buruh.

“Tangkapan ikan jika berbanding 20 tahun lalu, kami mendapat sehingga 20 kilogram (kg) dengan pendapatan kira-kira RM700 setiap kali memasang perangkap atau bubu, namun kini hanya sekitar 3kg sahaja.

“Bagi hasil hutan pula, jika dulu pencarian batu kelulut boleh mencecah hingga 40 kilogram (kg) tetapi kini semakin sukar diperoleh.

“Dulu boleh didapati sekitar tepi tasik sahaja tetapi kini perlu pergi hingga 10 kilometer jauh dalam hutan, disebabkan aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah untuk projek sawit,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, komuniti Orang Asli di sini berharap kerajaan membantu menyediakan peluang lain untuk mereka menambah pendapatan seperti projek pertanian, ternakan ikan atau produk berasaskan pelancongan.

Penduduk Kampung Bapak, Kamarul Nak, 48, yang menyara kehidupan dengan hasil tangkapan ikan kelisa dan tapah di Tasek Bera, berkata dia boleh menjana pendapatan sehingga RM100 sehari pada musim ‘ikan kelisa’ sekitar September.

Katanya, namun dari tahun ke tahun, dia mendapati hasil tasik itu semakin berkurangan sebab terlalu ramai orang daripada luar yang turut mencuba nasib mendapatkan ikan itu.

“Ya makin kurang sebab orang ramai....dulu banyak ikan tetapi apabila orang luar ramai datang termasuk dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang malah ada dari Singapura, ikan makin kurang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Hamid Yahim, 61, pula berkata dia kerap memasuki hutan dalam kawasan Tasek Bera untuk mendapatkan hasil bagi kegunaan sendiri dan jualan sejak berusia 12 tahun.

Katanya, jika dulu dia boleh mendapatkan tangkapan haiwan liar seperti kancil dan kijang, namun kini hanya mengharapkan hasil herba berikutan sukar melihat’ haiwan itu lagi akibat pemburuan haram secara berlebihan.

“Sekarang sudah tiada binatang, kami bergantung kepada hasil herba hutan seperti rotan dan akar kayu yang dijual kepada peraih yang datang ke sini,” katanya.

Tok Batin Kampung Bapak, Kamaruddin Okin, 50, berkata kebiasaannya anak buahnya bergantung kepada hasil flora dan fauna Tapak RAMSAR pada musim tertentu sebagai punca pendapatan sampingan, ketika hasil menoreh getah berkurangan.

Berita Harian X