Selasa, 18 Februari 2020 | 6:19pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan tajaan Tan Sri Razman M Hashim (kanan) kepada Datin Che Asmah Ibrahim (kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian dan Serahan Tajaan YKN-Kumpulan Sunway di Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan tajaan Tan Sri Razman M Hashim (kanan) kepada Datin Che Asmah Ibrahim (kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian dan Serahan Tajaan YKN-Kumpulan Sunway di Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat hari ini. - Foto BERNAMA

6 lagi Anjung Kasih YKN akan dibina

PUTRAJAYA: Yayasan Kebajikan Nasional (YKN) akan menambah enam Anjung Kasih termasuk empat yang dijangka siap tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan 18 buah.

Anjung Kasih YKN adalah tempat penginapan sementara bagi golongan memerlukan, khususnya pesakit dan ahli keluarga kurang berkemampuan yang mengiringi pesakit sedang menerima rawatan di hospital kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata empat Anjung Kasih yang dijangka siap tahun ini beroperasi di Hospital Melaka; Hospital Duchess of Kent, Sandakan; Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

”Pembinaan Anjung Kasih YKN di Hospital Putrajaya dan Hospital Kota Kinabalu pula akan dimulakan tahun ini dan dijangka siap pada 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian dan Penyerahan Tajaan Kumpulan Sunway Bagi Penubuhan Sunway Forgood Anjung Kasih YKN, Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Pada majlis itu Kumpulan Sunway menaja sebanyak RM1 juta bagi penubuhan Sunway For Good Anjung Kasih YKN Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Majlis menandatangani memorandum perjanjian dan penyerahan tajaan disaksikan Dr Wan Azizah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN dan Dr Cheah.

Pada majlis itu YKN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, manakala Kumpulan Sunway diwakili Timbalan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Razman M Hashim.

Sejak pembinaan bermula pada 2006, sebanyak 12 Anjung Kasih YKN beroperasi di hospital kerajaan di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 76,280 orang.

Ketika ini, Anjung Kasih YKN beroperasi di Hospital Selayang, Selangor; Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak; Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan; Hospital Sibu, Sarawak; Hospital Umum, Kuching, Sarawak; Hospital Miri, Sarawak; Hospital Serdang, Selangor; Hospital Pulau Pinang; Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya berbesar hati atas sumbangan diberikan Kumpulan Sunway Group dalam merealisasikan pembinaan Anjung Kasih YKN.

Menurut beliau, kemudahan itu sangat diperlukan kerana Hospital Seberang Jaya adalah antara hospital yang sentiasa sibuk dan pembinaannya dapat membantu pesakit dan waris ketika mendapat rawatan di hospital yang dijangka mula dibina pada April ini.

Katanya, dua lagi syarikat korporat menaja empat Anjung Kasih YKN bagi tempoh 2018 sehingga tahun ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaja Anjung Kasih YKN di Hospital Serdang yang dibina dengan kos RM1 juta dan sudah beroperasi, selain Better Bright Anjung Kasih YKN Hospital Melaka juga dengan kos RM1 juta yang kini dalam pembinaan dan dijangka beroperasi pada bulan depan.

PETRONAS menaja Anjung Kasih YKN Hospital Duchess of Kent yang dalam pembinaan dengan kos RM1 juta dan dijangka siap bulan depan.

Yayasan PETRONAS menaja Anjung Kasih YKN Hospital Putrajaya (RM 3.4 juta) dan dijangka mula dibina tahun ini.

Berita Harian X