Selasa, 18 Februari 2020 | 10:36pm
Pasangan suami isteri warga China yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru sudah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad.
Pasangan suami isteri warga China yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru sudah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad.
Pasangan suami isteri warga China yang dirawat sudah sembuh dan dibenarkan keluar wad petang tadi.
Pasangan suami isteri warga China yang dirawat sudah sembuh dan dibenarkan keluar wad petang tadi.
Kakitangan Hospital Permai bersama suami isteri warga China yang disahkan bebas daripada dijangkiti COVID-19.
Kakitangan Hospital Permai bersama suami isteri warga China yang disahkan bebas daripada dijangkiti COVID-19.
Pesakit ini yang juga kes ketujuh dan kelapan positif COVID-19, sembuh sepenuhnya selepas keputusan ujian ulangan dua kali berturut-turut didapati negatif.
Pesakit ini yang juga kes ketujuh dan kelapan positif COVID-19, sembuh sepenuhnya selepas keputusan ujian ulangan dua kali berturut-turut didapati negatif.

Hospital Permai di JB bebas COVID-19

KUALA LUMPUR: Hospital Permai di Johor Bahru, Johor kini bebas daripada pesakit yang dijangkiti COVID-19 apabila dua pesakit iaitu pasangan suami isteri warga China yang dirawat sudah sembuh dan dibenarkan keluar wad petang tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit berkenaan yang juga kes ketujuh dan kelapan positif COVID-19, sembuh sepenuhnya selepas keputusan ujian ulangan dua kali berturut-turut didapati negatif.

“Dengan itu, semua kes positif COVID-19 yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru telah sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan keluar. Tiada lagi pesakit positif di Johor Bahru, Alhamdulillah dan tuhan memberkati kita semua,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, malam ini.

Dr Noor Hisham turut berkongsi beberapa gambar kakitangan Hospital Permai bersama suami isteri berkenaan.

Beliau menggambarkan detik gembira dan penuh syukur itu sebagai ‘a picture is worth a thousand words’.

“Terima kasih kepada semua kakitangan KKM (Kementerian Kesihatan) iaitu Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Dr Masliza Zaid dan kumpulan; Pengarah Kesihatan negeri, Dr Aman Rabu dan kumpulan kesihatan awamnya, pakar perubatan dan jururawat.

“Tidak dilupakan pencuci daripada Medivest yang dengan penuh keberanian dan cermat membersihkan bilik pengasingan serta bilik mandi,” katanya.

Dengan itu, jumlah keseluruhan kes positif sebelum ini yang sudah dibenarkan pulang dari wad setakat ini ialah 13.

Setakat hari ini, tiada kes baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan hingga kini kekal sebanyak 22.

Setakat hari ini juga, seramai 583 pesakit bawah pemantauan (PUI) dilaporkan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan. Bagi kontak rapat untuk kes positif pula, sebanyak 230 kes dikesan negatif dan 13 kes masih menunggu keputusan makmal.

Berita Harian X