Rabu, 19 Februari 2020 | 3:13pm
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (dua, kanan) berkenan menanam pokok Cempaka Kuning (Michelia Champaca) pada simbolik Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-256 di Istana Negara. - Foto BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (dua, kanan) berkenan menanam pokok Cempaka Kuning (Michelia Champaca) pada simbolik Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-256 di Istana Negara. - Foto BERNAMA

Tanam pokok cempaka kuning sebagai simbolik

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-256 bermula hari ini dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok cempaka kuning di pekarangan Istana Negara sebagai simbolik mempengerusikan mesyuarat itu.

Upacara kali kedua penanaman pokok itu adalah atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kali pertama upacara sama diadakan ialah pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-255, Oktober tahun lalu, dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, menanam pokok merbau.

Terdahulu sebelum upacara penanaman pokok, Sultan Nazrin turut berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama, Istana Negara.

Upacara simbolik penanaman pokok dan KKU pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Raja-Raja Melayu yang berangkat hadir pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-256 ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz; dan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Kelantan diwakili oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra, manakala Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Mesyuarat berlangsung selama dua hari ini turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu pada petang ini, dijadualkan berlangsung majlis santapan teh sempena memuliakan mesyuarat berkenaan yang dianjurkan Istana Negara di dewan serba guna yang akan dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama permaisuri-permaisuri. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X