Jumaat, 21 Februari 2020 | 6:24pm
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan mohon batalkan tuduhan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, memohon untuk membatalkan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihadapinya.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad, 54, berkata permohonan notis usul itu difailkan pada 11 Februari lalu dan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan pada 14 Februari.

“Saya percaya pihak pendakwaan memerlukan masa untuk membalas dan menjawab notis usul berkenaan,” katanya pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria, mengesahkan pihaknya menerima notis usul itu dan memerlukan masa untuk menjawabnya.

Siti Noor Hafizan turut memberitahu mahkamah, pihaknya telah menyerahkan beberapa dokumen termasuk rakaman percakapan tertuduh (Ahmad) oleh SPRM kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah menetapkan 26 Mac untuk mendengar permohonan itu.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Hamidi berkata, permohonan berkenaan difailkan atas alasan pertuduhan terhadap anak guamnya adalah tidak berasas.

Pada 21 Januari lalu, Ahmad mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN dan memberi penyataan palsu kepada SPRM.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh tertuduh pada hari sama.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah membabitkan diri secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh memberi penyataan-penyataan palsu ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Berita Harian X