Jumaat, 21 Februari 2020 | 8:30pm
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - NSTP/Faiz Anuar
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - NSTP/Faiz Anuar

Warta keluar Hutan Simpal Kekal Kuala Langat Utara belum muktamad

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor menjelaskan keputusan untuk mengeluarkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih di peringkat mendengar pandangan awam.

Warta mengenainya belum dikeluarkan dan cadangan itu masih di peringkat penyediaan laporan.

Ia membabitkan laporan bertulis dan hebahan serta notis penyiasatan awam dengan keseluruhan proses itu akan dilakukan hingga 5 Mac depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri sedang mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan, khususnya rakyat, masyarakat Orang Asli dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung cadangan itu.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak akan membuat keputusan berkenaan isu itu sebelum meneliti setiap pandangan daripada rakyat serta memperhalusi laporan teknikal merangkumi analisis kos faedah berkait kesan cadangan berkenaan.

“Selangor satu-satunya negeri yang menjalankan proses penyiasatan awam berhubung status hutan simpan kekal dan ini hanyalah langkah ketiga daripada sembilan tahap sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Kerajaan negeri komited untuk menyasarkan peratusan jumlah hutan simpan kekal di Selangor meningkat sebanyak 32 peratus menjelang 2025, berbanding sekarang pada 31 peratus.

“Ia meliputi kawasan berkeluasan kira-kira 250,209 hektar, termasuk Hutan Darat Asli, Hutan Paya Gambut dan Hutan Paya Laut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, kerajaan Selangor menyenaraikan empat kawasan gantian terus bagi cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang menimbulkan bantahan banyak pihak, membabitkan kawasan seluas 930 hektar.

Amirudin berkata, sebarang pewartaan keluar hutan simpan kekal akan digantikan terus dengan pewartaan masuk dengan jumlah keluasan dan keadaan ekologi sama.

“Terdapat lebihan 121.41 hektar, berbanding jumlah asal yang akan diganti dalam cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini.

“Kerajaan Negeri turut memperakui hak Orang Asli di bawah undang-undang seperti diputuskan dalam kes Sagong Tasi.

“Pentadbiran ini akan mencari penyelesaian terbaik supaya penempatan Orang Asli tidak diganggu. Sebarang pertikaian berkenaan hal ini akan dinilai semula,” katanya.

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam satu kenyataan menafikan dakwaan berhubung pembangunan Selangor Business Capital akan dilakukan di atas rizab hutan simpan Kuala Langat Utara.

Katanya, artikel bertajuk ‘Kerajaan Selangor mahu bina taman perniagaan mega di rizab hutan’ dan ‘Selangor government wants to bulldoze forest reserve for mega business park’ diterbitkan sebuah portal berita pada 21 Februari lalu, adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Perkara ini mengakibatkan nama baik PKNS tercalar di mana artikel berkenaan kerana ia sudah dibincangkan orang awam di laman sosial. Selangor Business Capital adalah projek kerajaan Selangor dan akan dibangunkan PKNS di Selangor Cyber Valley, Cyberjaya di atas tanah berkeluasan 56.66 hektar.

“Pembangunan ini tidak membabitkan pemansuhan status hutan simpan kekal bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara sama sekali, selain menafikan dakwaan yang menyifatkan pembangunan Selangor Business Capital mencabuli hak Orang Asli di kawasan berkenaan,” katanya.

Berita Harian X