Ahad, 23 Februari 2020 | 1:14pm
PANTAI Damai, Kuching.
PANTAI Damai, Kuching.

Pesona 5 pantai di Sarawak

ASET industri pelancongan Sarawak hebat mencakupi pelbagai aspek.

Memiliki sungai terpanjang dan negeri terbesar di Malaysia dengan keluasan 124,450 kilometer (km), selain menawarkan kepelbagaian sejarah, etnik, budaya, makanan, festival serta kaya tarikan alam semula jadi menakjubkan.

Seiring slogan 'more to discover', Bumi Kenyalang, jom tambah pakej percutian anda dengan menikmati keindahan pantainya yang kaya dengan pelbagai khazanah alam.

Pastinya, desiran pantai, pasir memutih, ombak beralun dan angin sepoi-sepoi bahasa menjanjikan pengalaman kenangan mengasyikkan tersimpan dalam memori.

Ayuh...mari kenali keunikan lima pantai dijadikan rujukan untuk memudahkan perjalanan anda ke Sarawak.

1. Pantai Tusan di Miri

Tidak asing lagi dalam kalangan pelancong dek kecantikan kawasan sekeliling pantai itu yang terletak di Bekenu.

Satu jam perjalanan dari bandar Miri, anda boleh menikmati kelembutan pantai berpasir, keindahan terumbu karang dan air terjun.

Pelbagai bentuk dinding bukit batu akibat geseran ombak begitu unik wajar dihayati bagi pencinta alam semula jadi.

Fosil purba dan lapisan batu semula jadi di tebing menjadikan Pantai Tusan sebagai taman permainan ahli geologi.

Fenomena air mata biru, iaitu cahaya dan warna biru berkilau menghasilkan planton persis di Maldives dan di kepulauan Matsu, Taiwan, dapat disaksikan di sini.

Tebing batu di Tanjung Layang-layang yang turut dikenali sebagai Batu Kuda bentuknya mirip seekor kuda sedang minum dan gua kecil dengan landskap batuan menambah menarik di sepanjang pantai itu.

PANTAI Tusan, Miri.
PANTAI Tusan, Miri.

2. Pantai Damai, Kuching

Terletak di Damai Beach Resort, berhampiran Taman Budaya Sarawak dan bersebelahan Gunung Santubong menjanjikan pengalaman cukup mewah serta mempesonakan sambil menghadap Laut Cina Selatan.

Anda juga boleh ke Pulau Satang dengan menaiki bot dari Santubong atau Pantai Damai.

Sesuai membawa anak-anak bercuti, Pulau Satang menawarkan aktiviti menarik seperti selam skuba, ‘snorkeling’ dan pengalaman melihat penyu bertelur. Jika anda bernasib baik, anda berpeluang menyaksikan Irrawaddy dolphin.

PANTAI Sematan, Sematan.
PANTAI Sematan, Sematan.

3. Pantai Sematan, Sematan

Terletak di sempadan Kalimantan, kira-kira 120 km dari Kuching. Pantai ini popular sebagai destinasi hujung minggu dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

Sematan terkenal sebagai kampung nelayan dan tumpuan mereka yang gemar makanan laut. Mandi-manda, selain aktiviti lasak lain seperti kayak, 'snorkeling', selam skuba, 'hiking' dan lawatan melihat aktiviti industri hiliran nelayan ada di sini.

‘Crab Farm’ di Kampung Trusan Jaya dipenuhi spesies Mud Crab atau dikenali sebagai Ketam Kalok. Singgah saja, mana-mana deretan gerai dan restoran pelbagai makanan laut untuk kepuasan anda.

PANTAI Hawaii, Miri.
PANTAI Hawaii, Miri.

4. Pantai Hawaii, Miri

Teringin berjalan di atas pasir putih sepanjang pantai dipenuhi dengan pokok palma seperti di luar negara?

Pantai Hawaii terletak 15 km dan 25 minit pemanduan dari pusat bandar Miri.

Di Kampung Bakam, hanya perlu berjalan kaki melalui papan kayu disediakan menuju ke destinasi.

Bersantai sambil merasa dingin angin Laut China Selatan dan aktiviti barbque amat mengujakan.

Waktu terbaik ke Pantai Hawaii bermula April sehingga September kerana kebiasaannya cerah dan tidak hujan.

Juga ada Pokok Panaga berusia lebih 50 tahun yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan dan sesuai berteduh serta berkelah di bawah.

Miri destinasi popular kepada penyelam scuba dek kepelbagaian saiz terumbu karang di dasar laut itu.

PANTAI Temasya Tanjung Batu, Bintulu.
PANTAI Temasya Tanjung Batu, Bintulu.

5. Pantai Temasya Tanjung Batu, Bintulu

Lokasinya kira-kira 5 km dari pusat bandar Bintulu. Pemandangan indah menjadi tarikan utama pengunjung menghabiskan masa bersama keluarga atau pasangan tercinta.

Hanya lima minit dari pantai itu, bawalah membawa keluarga ke Taman Tumbina Bintulu. Nama Tumbina berasal daripada gabungan perkataan tumbuhan dan binatang.

Nikmati keindahan bunga orkid dan haiwan seperti bangau dan beruang, selain aktiviti menaiki burung unta dan ‘jungle trekking’.

Rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang melihat pemandangan matahari terbenam begitu indah dan sangat cantik di sini sambil menikmati air kelapa dan Mee Kolok.

Apa lagi ditunggu. Jom kunjungi Bumi Kenyalang! Untuk mengetahui lebih lanjut, hubungi Pusat Maklumat pelancong:

•Visitors Information Centre, Kuching

Sarawak Tourism Complex (Old Court House), 93100 Kuching, Sarawak.

•E-emel: [email protected]

•Telefon: +6082-410944

Berita Harian X