Ahad, 23 Februari 2020 | 5:00pm
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Saya dapat arahan kumpul MKT' - Annuar

KUALA LUMPUR: Semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerima arahan untuk berkumpul di Menara Dato’ Onn, awal pagi tadi.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, ketika mendedahkan perkara itu berkata perjumpaan khas sejak jam 3 petang tadi adalah susulan arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Annuar berkata, MKT tidak dimaklumkan mengenai sebarang agenda mesyuarat khas yang bakal dipengerusikan presiden.

“Bila keluar arahan pagi tadi, saya diminta untuk maklumkan semua ahli MKT bahawa presiden nak buat perjumpaan khas.

“Pasal apa, saya tidak tahu,” katanya tanpa mengulas lanjut ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, beberapa pimpinan MKT mula tiba di ibu pejabat UMNO di sini, antaranya Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Lobi Menara Dato’ Onn ketika ini dipenuhi penyokong UMNO yang difahamkan tiba bersama pimpinan masing-masing, selain media mewakili pelbagai agensi.

Difahamkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, sudah tiba di ibu pejabat parti, namun mesyuarat belum bersidang kerana menunggu kehadiran Ahmad Zahid.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X