Ahad, 23 Februari 2020 | 11:25pm
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

'Perdana Menteri akan umumkan nanti' - Annuar

PETALING JAYA: UMNO membayangkan Pakatan Harapan (PH) sudah berakhir, sekali gus mengesahkan parti itu mungkin membentuk gabungan baharu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata gabungan PH merangkumi BERSATU, PKR, DAP dan Parti Amanah Nasional Negara (AMANAH) mungkin berakhir.

Bagaimanapun, katanya, sebarang pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pembentukan pakatan baharu perlu mengikut Perlembagaan dan (perkenan) Yang di-Pertuan Agong. Akan ada mesyuarat lagi selepas ini bersama Dr Mahathir, kesimpulannya tunggu PM (Perdana Menteri) umum,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.

Katanya, UMNO kekal sebagai parti politik walaupun membentuk gabungan baharu bersama parti lain.

Ditanya sama ada PH sudah berakhir, jawapan Annuar seolah-olah mengesahkannya.

“Saya rasa begitu,” katanya, sambil menambah sokongan yang diterima mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

“Kita mencapai dua pertiga sokongan daripada ahli parlimen yang ada,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X